GWM TANK 300 – MACAM JIMNY MAKAN STEROID
Adalah menjadi kebiasaan untuk SUV China dijual pada harga yang murah berbanding dengan pesaing tetapi lengkap dengan semua spesifikasi terkini. Formulanya ialah murah dan terlebih murah spesifikasi. Namun untuk dijual pada harga melebihi Toyota Fortuner, rasanya agak luar biasa
Bayangkan anda perlu membayar sehingga RM 250,000 bagi mendapatkan GWM Tank 300, namun dengan tema Luxury Offroad. Sekiranya anda berpendapat harga yang dipinta adalah mahal, anda mungkin tersilap kerana 400 unit GWM Tank 300 telahpun terjual.
GWM Tank 300 menggunakan kerangka Ladder Frame yang sama digunakan oleh trak pikam Great Wall Pao. Sudut roda depan direka pada 34 darjah dan sudut di bahagian belakang ialah 33 darjah dengan ruang kelegaan permukaan jalan ditetapkan pada 324mm
Berbeza dengan jenama lain, GWM Tank menggunakan brek cakera pada roda depan dan juga belakang, lengkap dengan ciri Autohold. Tayar Michelin Premacy SUV pula diberikan sebagai tayar standard OEM bagi Tank 300 ini.
Dari segi saiz, GWM Tank 300 adalah lebih pendek berbanding dengan Toyota Fortuner tetapi direka dengan lebih lebar. Panjang keseluruhan GWM Tank 300 ialah 4760mm dengan lebar 1930mm manakala jarak antara roda ialah 2750mm.
Bagi rekaan yang selamat dan mengekalkan ciri tradisional SUV, GWM Tank 300 datang dengan rekaan 2 kotak sama seperti Jeep Wrangler di bahagian sisi, seperti Ford Bronco pada rekaan lampu depan dan juga Suzuki Jimny jika dilihat dari belakang.
Satu ciri klasik yang lain ialah tayar simpanan kecemasan digantung pada pintu belakang, sama seperti Mitsubishi Pajero satu ketika dulu
Berbeza dengan jenama lain yang memilih untuk menggunakan enjin turbodiesel, GWM Tank 300 memilih untuk menggunakan enjin petrol 2000cc 4 silinder turbo yang mampu menghamburkan sekitar 217 kuasa kuda dan 380Nm tork
Semua kuasa dihantar ke transmisi automatik 8 kelajuan ZF dengan tayar belakang digunakan pada kebanyakan masa. Jika pacuan 4 roda diperlukan, GWM Tank 300 menyediakan transfer case yang boleh menyediakan pelbagai mode pemanduan 4 roda samaada 4H atau 4L
Bagi rekaan dalaman, GWM Tank 300 menggunakan inspirasi rekaan daripada SUV Mercedes Benz G-Wagon. Jika anda memiliki mata yang tajam, anda akan perasan yang rekaan corong penyaman udara memiliki persamaan dengan corong penyaman udara Mercedez Turbin Vent lengkap dengan lampu pencahayaan terbina dalam unit tersebut
Rekaan dalam turut ditawarkan dengan butang penyaman udara mekanikal, butang pilihan mode pemanduan, penukar gear di belakang stering, Hill Decent Control, pengecas telefon tanpa wayar, lampu kabin, cermin suria, butang kamera 360 darjah dan juga lock differential pada gandar depan dan belakang
Untuk makluman pembaca, kebanyakan trak pikap hanya menawarkan lock differential pada gandar belakang sahaja. Cuma sayangnya suis penyaman udara pula tersorok dan ditanam dalam skrin 12.3 inci yang juga bertindak sebagai skrin multimedia
Seperti biasa, sistem multimedia boleh disambung dengan telefon pintar melalui ciri Apple Car Play dan juga Android Auto
Untuk paparan maklumat pemanduan, GWM Tank juga ditawarkan dengan skrin meter digital sebesar 12.3 inci dengan piksel gambar yang cukup terang dan jelas. Malah SUV ini juga diberikan ciri kamera 540 darjah yang membenarkan anda melihat di bawah cesi, sangat membantu ketika melalui jalan offroad.
Di bahagian belakang, ruang kaki adalah cukup luas selain penumpang belakang turut diberikan corong penyaman udara, USB jenis C untuk mengecas telefon, perehat tangan dan juga pembesar suara daripada jenama Infinity Sound System.
Ruang kargo pula menawarkan sehingga 400 liter kapasiti muatan dalam satu-satu masa, dan boleh dibesarkan dengan melipat kusyen di barisan kedua. Penutup ruang kargo boleh digunakan sebagai meja, lengkap dengan kaki besi yang disediakan pada ruang kargo.
Berikut ialah pengamatan penulis sepanjang sesi pandu uji GWM Tank 300. Antaranya ialah:
1. Setangki petrol membolehkan SUV ini dipandu sejauh 740km sekiranya dipandu secara berhemah. Jika dipandu mengikut halaju kebangsaan, penggunaan petrol adalah sekitar 10.63km bagi setiap liter. Penghantaran kuasa adalah lancar dengan operasi transmisi 8 kelajuan ZF
Dari segi pemanduan, penukaran gear adalah sangat lancar untuk pemanduan di bandar, lebuhraya dan juga ketika melalui ujian laluan offroad di M4Trec Semenyih. Tiada senggukan dan gear hunting melainkan transmisi ini tidak suka dipandu pada halaju yang terlalu tinggi
2. Dari segi pengendalian, rasa memandu SUV yang menggunakan ladder frame adalah sama seperti anda memandu Toyota Hilux, Toyota Innova, Fortuner mahupun Perodua Aruz. Cesi terasa terlalu tegar dan berat selain tindak balas cesi terhadap stering tidak setajam cesi monocoque
Namun cesi ladder frame bukanlah digunakan untuk berlumba, sebaliknya digunakan untuk meredah laluan lasak, tidak berturap dan juga offroad. Bagi menjadikan GWM Tank 300 ini selesa, sistem suspensi dibuat supaya mengutamakan keselesaan.
Jadi anda boleh mengesan olengan cesi semasa di selekoh, junaman cesi semasa membrek kecemasan dan juga cesi ini akan mengalami squat sewaktu mula-mula memecut.
Sekiranya anda melalui speed bump terlalu laju, suspensi belakang dan depan boleh mengalami bottom out. Namun jika anda memandu melepasi jalan tidak rata, GWM Tank memang terasa sungguh selesa.
3. Biasanya untuk kegunaan seharian, mode 2H memadai dengan semua kuasa dihantar ke roda belakang dengan pilihan mode Normal atau Economy. Bagi mode pacuan 4 roda 4H dan juga 4L, ia ditawarkan dengan pelbagai pilihan pemanduan.
Apa yang bagus ialah semua ciri mode ini akan datang dengan penerangan lengkap setiap kali dipilih. Jadi anda boleh memandu dengan mode yang tepat setiap kali melalui halangan offroad. Terdapat Tank Turn Mode yang membantu Tank 300 membuat pusingan U-Turn di laluan offroad dengan lebih mudah
4. Dalam aspek NVH, penggunaan enjin petrol sebenarnya adalah pilihan yang tepat bagi GWM Tank 300. Gegaran pada stering yang biasa dirasai pada trak pikap turbo langsung tidak dirasai pada GWM Tank 300. Penulis juga langsung tiada masalah untuk memandu Tank 300 selama 2 jam secara terus tanpa rasa penat
Dalam aspek keselamatan, GWM Tank 300 diberikan semua ciri keselamatan moden seperti sistem pemanduan adaptif, brek kecemasan automatik, sistem pengekalan lorong, sistem lintasan trafik belakang dengan brek AEB, amaran tekanan angin tayar dan Traffic Sign Recognition
SUV ini juga datang dengan sistem amaran halaju dan juga sistem pemotongan bahan api sekiranya ia terlibat dalam kemalangan. Atas semua sebab inilah GWM Tank 300 diberikan penarafan Australian NCAP 5 Star
Secara jujurnya penulis rasakan harga yang sesuai untuk GWM Tank 300 ini ialah RM 200,000 seunit atau lebih rendah berbanding dari pesaing dari negara Jepun. Namun telahan penulis adalah salah dengan 400 unit GWM Tank 300 telah terjual
Ini membuktikan GWM Tank 300 berada dalam kelasnya yang tersendiri, iaitu menawarkan SUV mewah dengan keupayaan offroad yang bagi pemandu yang gemarkan aktiviti lasak lengkap dengan semua ciri bagi pengembaraan di laluan offroad mencabar.