Buletin

EV: PROTON MAHU BANGUNKAN JARINGAN PENGECASAN, JALIN KERJASAMA DENGAN SYARIKAT TEMPATAN

Proton juga turut mengumumkan perancangan untuk melabur di dalam pembangunan jaringan pengecasan kenderaan elektrik di Malaysia menerusi kolaborasi dengan syarikat tempatan.

Selain daripada mengedar dan menjual kenderaan elektrik berjenama smart, Proton juga turut mengumumkan perancangan untuk melabur di dalam pembangunan jaringan pengecasan kenderaan elektrik di Malaysia menerusi kerjasama dengan syarikat tempatan.

Menurut Pengarah Kanan Strategi Proton, Yusri Yusuf berkata, buat masa ini pihaknya telah pun melakukan perbincangan dengan tujuh hingga lapan buah syarikat penyedia infrastruktur pengecasan EV.

Jelasnya lagi, pihak Proton kini menumpukan perhatian kepada dua aspek, iaitu fasiliti pengecasan umum serta pengecasan kenderaan elektrik di rumah.

Proton akan menjalin bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan untuk menentukan perancangan terkini sebelum mengorak langkah membangunkan fasiliti pengecasan umum termasuk menyediakan stesen pengecasan mudah alih di kawasan luar bandar bagi menangani isu kebimbangan jarak.

Untuk memenuhi keperluan pelanggan domestik, Proton juga merancang untuk mengadakan kolaborasi dengan penyedia pengecasan tempatan untuk menawarkan dan memasang unit pengecasan domestik di rumah pelanggan.

Sebagai makluman, Malaysia merupakan negara ASEAN yang pertama untuk menerima unit smart #1 versi pemanduan sebelah kanan.

Model kereta elektrik tersebut dijangka akan mendarat menjelang suku keempat 2023 (Q4 2023), sebelum dijual di Thailand pada pertengahan tahun 2024.

Google ads
Back to top button