Buletin

PROTON SASAR JUALAN SMART #1 800-1000 UNIT SETAHUN

Proton telah menandangani perjanjian pengedaran am dengan smart Automobile Company di mana syarikat automotif negara itu bakal menjual kenderaan tenaga baharu berjenama smart pada suku keempat 2023 (Q4 2023).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah menjelaskan selepas pasaran Malaysia, smart akan menembusi pasaran Thailand menjelang separuh kedua tahun 2024.

Ini bermakna, Malaysia merupakan negara pertama di rantau ASEAN yang menerima unit smart #1 versi pemanduan sebelah kanan (RHD), memandangkan unit yang baharu dilancarkan di China merupakan versi pemanduan sebelah kiri (LHD).

Untuk sebuah produk dalam kelas premium, Proton menyasarkan jualan model smart #1 sebanyak 800 hingga 1,000 unit setahun, dengan jumlah jualan keseluruhan mencecah 10,000 unit menjelang tahun 2027.

“Apa yang ditawarkan oleh smart merupakan sebuah produk premium, jadi apabila anda mempunyai penawaran produk premium berbanding jenama EV yang lain, saya fikir agak sukar untuk meletakkan produk tersebut di bawah julat RM150,000.

Tidak seperti produk-produk Proton sedia ada, untuk model smart #1 ini Proton menyasarkan kumpulan pembeli muda yang berusia antara 25 hingga 35 tahun serta memiliki kemampuan untuk memandu kereta dengan julat harga lebih daripada RM200,000.

Google ads
Back to top button