
XPENG G9L ULTRA AWD TIBA DI PASARAN THAILAND – 585PS, JARAK GERAK 553KM, HARGA DARI RM290K
XPeng melancarkan G9L Ultra AWD di Thailand pada harga 2.399 juta baht (sekitar RM290,410), sekali gus menawarkan sebuah SUV elektrik bersaiz besar dengan konfigurasi enam tempat duduk, sistem pacuan semua roda (AWD) dan jarak pemanduan sehingga 553 kilometer.
Model yang dibawa masuk sepenuhnya dari China (CBU) itu menggunakan dua motor elektrik yang ditempatkan pada gandar hadapan dan belakang. Gabungan kedua-dua motor berkenaan menghasilkan kuasa maksimum 430kW (585PS) serta tork 695Nm.
Kuasa tersebut disalurkan menerusi pek bateri jenis Nickel Cobalt Manganese (NCM) berkapasiti 110kWh yang menyokong seni bina voltan tinggi 800V dan teknologi pengecasan ultra pantas 5C.

Dari segi pengecasan, G9L Ultra AWD menyokong pengecasan AC sehingga 22kW dan DC sehingga 540kW. Dengan pengecasan DC berkuasa tinggi, bateri boleh dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam tempoh sekitar 12 minit.
Berdasarkan angka pengeluar, SUV elektrik ini mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 4.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 200km/j. Jarak pemanduan pula mencecah 553 km mengikut piawaian WLTP.
Dari aspek dimensi, G9L mempunyai panjang 5,120mm, lebar 1,999mm dan tinggi 1,788mm, manakala jarak roda berukuran 3,100mm. Ia turut menawarkan ruang kargo belakang berkapasiti 259 liter, meningkat kepada 367 liter apabila ruang simpanan bawah lantai diambil kira.


Dengan tempat duduk barisan ketiga dilipat, kapasiti ruang kargo boleh diperluaskan sehingga 1,330 liter. Selain itu, terdapat ruang simpanan hadapan (frunk) berkapasiti 65 liter.
Model ini turut dilengkapi sistem suspensi udara dua ruang (Dual-Chamber Air Suspension), penyerap hentak adaptif dan sistem stereng roda belakang. Kombinasi berkenaan bertujuan meningkatkan keselesaan serta kestabilan ketika dipandu.
Bahagian luaran menampilkan lampu utama LED Matrix dengan teknologi Adaptive Driving Beam (ADB), malah sistem DLP Pixel Headlight membolehkan grafik dan simbol dipancarkan ke permukaan jalan. Ia turut menerima bumbung kaca panoramik, rim aloi 21-inci, pintu dengan sistem buka dan tutup elektrik serta tangga sisi elektrik.


Memasuki kabin, G9L Ultra AWD menawarkan susun atur enam tempat duduk dalam konfigurasi 2+2+2. Kesemua tempat duduk menggunakan balutan kulit Nappa, dengan kerusi hadapan dilengkapi fungsi pemanas, pengudaraan dan urutan elektrik 16 titik.
Tempat duduk penumpang hadapan turut menerima fungsi Zero Gravity, manakala barisan kedua menggunakan kerusi jenis Captain Seats dengan fungsi pelarasan elektrik, pemanas, pengudaraan dan urutan 10 titik. Barisan ketiga pula turut dilengkapi fungsi pemanas serta pengudaraan dan boleh dilipat secara elektrik.
Antara kelengkapan teknologi yang ditawarkan termasuk paparan meter digital 8.8-inci, skrin infotainmen tengah 17.3-inci dan paparan hiburan penumpang belakang bersaiz 21.4-inci dengan resolusi 3K.

Sistem operasi XOS 6.0 yang dikuasakan pemproses Qualcomm Snapdragon 8295 turut menyokong Google Maps, Apple CarPlay, Android Auto dan kemas kini perisian melalui Over-the-Air (OTA).
Sistem audio XOPERA dengan 23 pembesar suara, paparan head-up augmented reality (AR-HUD), kamera pandangan sekeliling 360 darjah serta sistem pembatalan hingar aktif turut menjadi sebahagian kelengkapannya.
Dari aspek keselamatan, model ini dilengkapi 10 beg udara serta pelbagai sistem bantuan pemanduan termasuk Adaptive Cruise Control (ACC), Autonomous Emergency Braking (AEB), Blind Spot Detection (BSD), Lane Keeping Assist (LKA) dan Forward Collision Warning (FCW).
Ia turut menerima sistem bantuan parkir automatik, Remote Parking Assist dan Remote Vehicle Summon yang membolehkan pergerakan kenderaan dikawal menerusi telefon pintar.
Untuk pasaran Thailand, G9L Ultra AWD ditawarkan dalam pilihan warna luaran Arctic White, Mirror Grey, Diamond Black dan Waving Green, dengan pilihan kemasan dalaman Tangerine Brown atau Meteorite Black mengikut warna badan.









