
PROTON PERSONA TUTUP TIRAI SELEPAS 19 TAHUN, 473,346 UNIT TERJUAL
PROTON secara rasmi menyerahkan unit terakhir Persona menerusi majlis khas bersama pelanggan di pusat pengedar 4S Atiara Johan, Puchong, sekali gus menandakan berakhirnya perjalanan sedan segmen B itu selepas 19 tahun berada di pasaran.
Sejak dilancarkan pada 15 Ogos 2007, Proton Persona berjaya mencatatkan jualan terkumpul sebanyak 473,346 unit di pasaran domestik dan eksport, menjadikannya antara model penting dalam sejarah pengeluar automotif nasional itu.
Persona diperkenalkan sebagai pengganti kepada Proton Wira dengan menggunakan platform GEN 2, namun hadir dengan reka bentuk badan sedan serta ruang kabin yang lebih praktikal untuk memenuhi keperluan pembeli.
Model itu kemudian berkembang menjadi pilihan keluarga yang mahukan kenderaan dengan ruang penumpang selesa, kapasiti bagasi bersesuaian dan ciri pengendalian yang menjadi antara kekuatan produk PROTON.

Bagi sebahagian pelanggan, Persona turut menjadi pilihan ketika mereka beralih daripada kereta pertama kepada sedan keluarga yang lebih luas dan praktikal untuk kegunaan harian serta perjalanan jarak jauh.
Kejayaan Persona turut memperlihatkan sumbangan pelbagai pihak dalam ekosistem PROTON, termasuk jurutera, pekerja kilang, pembekal dan rangkaian pengedar yang terlibat dalam pembangunan serta pemasaran model berkenaan.
Pada 23 Ogos 2016, PROTON memperkenalkan generasi kedua Persona yang dibangunkan berasaskan platform Iriz. Model baharu itu menerima penambahbaikan dari aspek keselamatan, keselesaan pemanduan dan kepraktisan.
Persona kemudiannya menjalani beberapa kemas kini pada 2019 dan 2021 bagi memastikan model berkenaan terus memenuhi kehendak pelanggan yang semakin berubah.

Kini, kesinambungan peranan Persona dalam rangkaian sedan PROTON diteruskan menerusi S70 1.5 i-GT, yang ditawarkan dalam varian Lite dan Prime.
Kedua-dua varian menggunakan enjin 1.5 liter i-GT aspirasi semula jadi yang dipadankan dengan transmisi CVT bersama penukar tork bagi memberikan pemanduan lebih lancar.
S70 turut menawarkan ruang kabin luas dengan lantai belakang hampir rata, selain dilengkapi enam beg udara, kamera undur dan sistem peringatan tempat duduk belakang.
Antara kelengkapan lain termasuk sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, brek parkir elektrik serta fungsi Auto Brake Hold.
PROTON S70 1.5 i-GT Lite ditawarkan pada harga bermula RM56,800, manakala varian Prime bermula RM59,800, kedua-duanya atas jalan tanpa insurans selepas rebat pembelian awal RM3,000.








