PELANGGAN BANTU HASILKAN REKAAN FORD RANGER GENERASI TERBAHARU
Ford Ranger generasi terbaharu yang diperkenalkan pertama kali di Malaysia bulan lalu adalah hasil daripada pandangan dan maklum balas pelanggan. Ia juga dibangunkan melalui kaji selidik pelanggan yang menyeluruh untuk menjadikannya lebih baik.
Pereka memanfaatkan pandangan yang diperoleh itu. Ia kemudian digabungkan dengan formula trak pikap global yang telah terbukti untuk menghasilkan Ranger generasi baharu yang ikonik, sarat dengan kepelbagaian dan boleh dipercayai oleh pelanggan untuk melakukan hampir apa saja.
Ketua Pereka Ranger, Max Tran dan pasukannya meluangkan banyak masa bersama pelanggan di seluruh dunia untuk memahami cara mereka menggunakan trak pikap masing-masing setiap hari.
Ford menjalankan lebih 5,000 wawancara dan merakamkan lebih 1,800 halaman nota lapangan sebagai rujukan. Ia menjadi panduan bagi jurutera serta pereka untuk membangunkan trak pikap dengan ciri dan kemampuan yang diperlukan oleh pelanggan.
“Memerhati cara pemilik menggunakan trak mereka, sama ada untuk tujuan kerja, keluarga atau riadah telah memberi beberapa idea penting yang membawa kepada keputusan terhadap rekaan dan pembangunan trak berkenaan.
“Satu contoh terbaik adalah kotak pemijak bersepadu. Dalam sesi perbincangan, kami dapati ramai pelanggan menghadapi masalah untuk mencapai barangan di ruang barangan belakang dari bahagian sisi trak. Ramai juga yang memijak tayar belakang atau bampar untuk berbuat demikian.
“Jadi kami tampil dengan idea sebuah kotak pemijak yang diletakkan di belakang roda belakang. Kami zahirkannya dan lakukan ujian dengan pemilik dan maklum balas yang diterima sangat memuaskan. Ada yang mengatakan yang ciri itu sahaja sudah cukup menjadi alasan untuk mereka membeli Ford Ranger,” jelas Tran.
Rekaan Luaran
Rekaan luaran Ranger generasi baharu ini dihasil mengikut dua prinsip penting iaitu untuk membawanya ke masa hadapan dan menzahirkan slogan Built Ford Tough.
“Kami perlu menyertakan ciri dan nilai yang diinginkan oleh pengguna untuk memastikan ia mengikut perkembangan semasa, selain mempunyai kepelbagaian dan kemampuan.
“Rekaan kotak pemijak baru di bampar belakang merupakan contoh hasil langsung daripada maklum balas pengguna untuk mendapatkan capaian yang lebih baik ke ruang kargo. Mereka juga mahukan ruang kargo lebih lebar yang boleh memuatkan palet kayu saiz penuh.
“Kami merujuk Ranger sebagai saudara kepada F-150. Ranger mempunyai pengikut yang kuat sejak 10 tahun lalu, dan kami meneruskan ciri rekaan menarik yang ada padanya untuk menghasilkan sebuah trak yang diterima di seluruh dunia. Sekali gus meningkatkan lagi kemampuan rekaan kami,” tambah Tran.
Imej maskulin trak ini diserlahkan menerusi rekaan gril baharu yang menonjol dengan lampu utama bentuk C, lampu nyalaan siang dan palang atas gril hinggalah arca roda, garis bahu dan logo Ranger yang lebih besar di belakang.
Di belakang, lampunya direka secara harmoni dengan grafik bentuk C lampu utama di depan. 50mm lebih tinggi dan pertambahan jarak roda sebanyak 50 mm berbanding Ranger lama juga membolehkan pereka menganjakkan lagi roda depan ke bahagian sudut, membolehkannya kelihatan lebih gagah.
Rekaan Dalaman
Di ruang kabin, Ranger diberi rekaan kokpit bergaya, teknologi mesra pengguna dan kabin luas yang sarat kepelbagaian dan rasa premium.
Material lembut yang digunakan meningkatkan lagi suasana dalaman. Panel instrumen baharu memanfaatkan rekaan lebih lebar, sekali gus memberi rasa lebih luas. Beberapa sentuhan rekaan luaran turut dibawa seperti perincian pada corong pendingin hawa yang menggunakan rekaan sama seperti rekaan di gril depan.
Menjadi rekaan utama papan pemukanya adalah skrin sentuh beresolusi tinggi bersaiz 10.1 inci atau 12 inci yang diposisikan di bahagian di tengah, seterusnya melengkapi kluster instrumen digital yang ada.
Pelanggan lebih menyukai posisi skrin menegak kerana ia memberikan cukup ruang untuk skrin tunjuk arah dan bahagian bawahnya untuk menu lain seperti kawalan hiburan atau pendingin hawa.
Pereka juga membayangkan semula aspek utama kabinnya. Sebagai contoh, bagaimana pemegang pembuka pintu boleh disepadukan dengan lebih baik sebagai lanjutan kepada rekaan papan pemukanya, menjadikan ciri itu lebih mudah digunakan.
Sekali lagi, maklum balas pelanggan telah dipertimbangkan untuk meletakkannya di kedudukan lebih rendah. Ia nampak lebih selari dan membuatkan suis tingkap lebih mudah dicapai. Ruang dalaman juga menggunakan lebih banyak material lembut untuk memberikan rasa premium.
Kerusi juga telah direka semula dengan penampan baru serta bahagian lembut untuk menjadikannya lebih bergaya dan selesa. Kepelbagaian pula menjadi kata kunci penting untuk kerusi barisan kedua apabila ia kini boleh dilipat rata dan mempunyai ruang simpanan tersembunyi di bawahnya.
Corong pendingin hawa tersedia di belakang konsol tengah untuk penumpang di belakang. Ada juga ruang simpanan tambahan misalnya di bahagian poket pintu di depan dan belakang.
Sertai siri jelajah Ranger generasi terbaharu
Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, akan mempertontonkan Ranger generasi terbaharu ini di Kuching pada 7-11 September di Vivacity Megamall, dan Suria Sabah Shopping Centre, Kota Kinabalu pada 5-9 Oktober.
Menjelang pelancarannya di bilik pameran, acara pratonton ini adalah sebahagian daripada siri jelajah seluruh negara bagi Ranger generasi baharu ini di lima kawasan, termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru melibatkan tempoh lima hujung minggu.
Jangan ketinggalan untuk berkunjung ke acara pratonton akan datang ini dan dekati Ranger generasi baharu dalam siri jelajah berkenaan.
Daftar di laman “Register” ini untuk mendapatkan jemputan eksklusif ke lokasi berdekatan anda.
Maklumat lanjut tentang Ranger generasi baharu, SDAC dan Ford, ikuti Ford Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube channel atau layari www.sdacford.com.my.