
FORD PUMA NO. 1 DI UK PADA 2023, TESLA MODEL Y JUARA EV!
United Kingdom (UK) memiliki 67.73 juta penduduk atau hampir sekali ganda berbanding negara kita. Berapa pula saiz pasaran kereta UK? Pada 2023 sebanyak 1.903 juta kereta baharu didaftarkan.
Berdasarkan data yang dikeluarkan Persatuan Pengeluar dan Pedagang Kenderaan (SMMT) UK, angka itu meningkat 17.9 peratus berbanding 2022.
Walaupun meningkat, jumlah itu masih di bawah pendaftaran 2019 (sebelum Covid) iaitu 2,311,140 unit.
Dari segi jenis kenderaan, pelanggan UK gemarkan supermini, kenderaan dua kegunaan (pikap, van dll) dan kereta saiz medium rendah. Tiga segmen itu kekal menjadi pilihan ramai sejak 2013.
Selari dengan peralihan elektrifikasi, pendaftaran kenderaan elektrik hibrid (HEV) meningkat 27.1 peratus kepada 238,942 unit dan menguasai 12.6 peratus pasaran.
Kenderaan hibrid plug-in (PHEV) melonjak 39.3 peratus kepada 141,311 unit dengan 7.4 peratus pegangan pasaran.
Kenderaan elektrik bateri (BEV) pula mencatat rekod baharu dengan peningkatan hampir 50,000 unit atau 16.5 peratus kepada 314,687 unit yang didaftarkan pada 2023 dan menguasai 16.5 peratus pasaran.
Secara keseluruhannya BEV mewakili satu daripada enam kereta baharu yang didaftarkan pada 2023 dengan majoriti dibeli oleh syarikat perniagaan dan pembeli pukal yang menikmtai insentif cukai.
Lain pula dengan pelanggan persendirian dengan nisbah 1 daripada 11 yang memilih BEV.
Sejak Geran Kereta Plug-In tamat pada Jun 2022, UK merupakan satu-satunya pasaran utama di Eropah yang tidak mempunyai insentif pembelian BEV.
Pihak industri menyeru kerajaan UK untuk mengurangkan separuh Cukai Nilai Tambah (VAT) selama tiga tahun agar setara dengan insentif yang dinikmati syarikat perniagaan.
Model mana yang paling digemari pengguna di UK? Ford Puma dengan 49,591 unit dan disusuli Nissan Qashqai dan Vauxhall Corsa.
Untuk BEV, Tesla Model Y berada di tempat teratas dengan jualan 35,899 unit dan diikuti MG4 dan Audi Q4 e-tron.
Berikut senarai lima kenderaan terlaris di UK:
- Ford Puma: 49,591 unit
- Nissan Qashqai: 43,321 unit
- Vauxhall Corsa: 40,816 unit
- Kia Sportage: 36,135 unit
- Tesla Model Y: 35,899 unit
BEV
- Tesla Model Y: 35,899 unit
- MG4: 21,715 unit
- Audi Q4 e-tron.: 16,757 unit
- Tesla Model 3: 13,536 unit
- Polestar 2: 12,542 unit
Untuk 2024, SMMT menjangkakan pasaran kereta baharu UK mencecah 1.97 juta unit dengan BEV berjumlah 439,000 unit atau mewakili 22.3 peratus pasaran.
Kredit gambar: Nissan, Tesla,

















