Buletin

VOLKSWAGEN GOLF - KINI TELAH PUN BERUSIA 50 TAHUN DAN AKAN TERUS KEKAL WUJUD

Kita tidak boleh menidakkan betapa jenama Golf ini cukup penting buat pengeluarnya yang berasal dari Jerman ini. Golf ini boleh diumpamakan sebagai model terlaris buat Kumpulan Volkswagen dan tidak akan ada yang selain darinya.

Dan kini, Volkswagen Golf ini bakal merayakan ulang tahun ke 50 tahun pengeluarannya sementelah generasi pertamanya membuat kemunculan pertama pada Mei 1974. Dan semenjak kehadirannya ke pasaran, Golf terus sahaja membentuk mobiliti di seluruh pelusuk dunia.

Ia adalah revolusi automotif apabila Volkswagen memperkenalkan Golf generasi pertama bagi menggantikan model lagenda Beetle pada tahun 1974. Volkswagen Golf Mk1 ini hadir dengan pacuan roda hadapan serta enjin di hadapan (bukannya sama seperti Beetle). Malah rekaannya kini menampilkan ruangan boot yang lebih luas serta tempat duduk belakang yang boleh dilipat.

Selang dua tahun pengenalannya, varian GTi yang cukup sinonim dengan Golf telah diperkenalkan dengan menggunakan enjin suntikan bahan api 1.6 liter yang mampu memecut sehingga ke 180 km/j. Suatu kelajuan yang cukup dikagumi di era 70an tersebut.

Ternyata, model rekaan Giorgetto Giugiaro ini rupanya cukup digemari oleh orang ramai. Walau pun baru dua tahun pengeluarannya, namun jumlah unit terjual sudah mencecah satu juta. Suatu pencapaian yang bukan calang – calang. Dan sehingga kini, Volkswagen Golf ini telah terjual sehingga 37 juta menjadikannya sebagai model hatchback kompak Eropah yang paling berjaya serta model terlaris Volkswagen sepanjang zaman.

Tidak kira generasi Golf yang mana sekali pun, rahsia kejayaannya masih lagi disebabkan ciri -ciri yang ada padanya cukup sempurna. Baik dari segi kepercayaan, kepelbagaian fungsi serta kualiti yang dimiliki. Selama berdekad pengeluarannya, pelbagai varian turut diperkenalkan meliputi Golf GTi, Golf Cabriolet atau pun Golf Variant. Dan kini Golf Mk8 terus menikmati pelbagai ciri menarik dan moden termasuklah pengenalan varian hibrid.

Dan Kumpulan Volkswagen ini akan meraikan ulang tahun ke 50 Golf ini dengan mempersembahkan senarai koleksi Golf yang cukup bersejarah ini menerusi pelbagai acara yang telah dirancang. Ianya termasuklah acara Salon Rétromobile di Paris yang akan diadakan sehingga tanggal 4 Februari 2023 yang akan menayangkan Golf I sehingga ke Golf VII.

Malah Volkswagen juga akan menayangkan sebuah model unik di Bremen Classic Motorshow, kereta konsep EA 276, yang dibangunkan pada tahun 1969 di Wolfsburg.

BACA : GOLF R MK8 MENDARAT DI MALAYSIA. 320PS/420NM, 3 PILIHAN WARNA. BERMULA RM356K

BACA : VOLKSWAGEN GOLF R-LINE CKD 2022.150PS, 8AT AISIN, BERMULA RM170K

Google ads

B K

Back to top button