Artikel Pilihan

FUNGSI INI SELALU DILUPAKAN OLEH IBU BAPA, BOLEH MENGUNDANG MAUT

Peristiwa seorang kanak-kanak yang terjatuh dari sebuah kereta sedan yang sedang melakukan pusingan u di persimpangan lampu isyarat di bandar Kota Bharu telah menjadi tular beberapa hari yang lepas. Kanak-kanak malang tersebut telah dilanggar sebanyak 2 kali selepas tercampak keluar daripada kenderaan yangh bergerak.

Biarpun masih lagi tiada hasil siasatan dari pihak berkuasa, namun berdasarkan pengalaman peristiwa ini berlaku disebabkan oleh pintu belakang yang dibuka tanpa sengaja ketika kereta sedang beroperasi. Bagi sesetengah kenderaan, pintu akan dikunci secara automatik sebaik sahaja kereta bergerak, brek ditekan atau melebihi halaju tertentu

Namun ada beberapa kajian mendapati pasukan penyelamat gagal atau lambat membuka pintu dan menyelamatkan mangsa kemalangan selepas kemalangan berlaku disebabkan ciri kunci automatik ini. Keadaan ini menyebabkan pihak berkuasa menetapkan pintu ini harus ada mekanisme yang membolehkan kunci pintu terbuka secara automatik sekiranya berlaku kemalangan

Keadaan ini menyebabkan kos tambahan pada pengeluar, dan jalan terbaik ialah tidak memasang ciri “self lock” ini. Kebanyakan kereta moden sekarang ada kunci atau suis tambahan pada papan pemuka atau di pintu yang meletakkan tanggungjawab mengunci pintu pada pemandu, bukannya pengeluar.

Namun bagi pemandu yang membawa kanak-kanak yang berumur 2 hingga 10 tahun yang suka mencuba dan mengusik semua barang dalam kereta, adalah digalakkan menggunakan “child lock” yang dipasang pada kereta.

Child Lock ini dipatenpada tahun 1949 oleh Joseph M. Schumann bagi menghalang pintu dibuka tanpa sengaja semasa kenderaan dipandu atau berhenti. Hanya pada tahun 1985 saja barulah semua kenderaan yang dijual di Amerika wajib memasang Child Lock ini menurut Code of Federal Regulations in 1985

Sekiranya diaktifkan, pintu belakang kereta tidak boleh digunakan, dan hanya boleh dibuka dari luar sahaja. Ciri ini boleh diaktifkan dengan satu butang khas pada pintu apabila pintu dibuka. Sesetengah kereta hanya membenarkan child lock diaktifkan dengan memulas suis dengan menggunakan kunci kereta

Namun kereta zaman moden akan menggunakan suis elektronik bagi mengaktifkan ciri ini, sekaligus menghalang semua cermin daripada dibuka tanpa sengaja. Kereta moden juga akan meletakkan isyarat pada meter atau kunci bagi menunjukkan kepada pemandu yang ciri ini sedang diaktifkan.

Ciri ini juga akan bertindak menghalang pintu dibuka (safe exit reminder) apabila kenderaan mengesan kehadiran kenderaan lain dari arah belakang atau mengingatkan pengguna untuk tidak meninggalkan kanak-kanak di dalam kenderaan.

Google ads
Back to top button