Buletin

TESLA MODEL 3 RASMI DILANCARKAN, DUA VARIAN, HARGA BERMULA RM189K

Tesla Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan Tesla Model 3 dan untuk pasaran tempatan, ia didatangkan dalam dua varian iaitu Rear-Wheel Drive serta Dual Motor All-Wheel Drive.

Dari segi penampilan, Model 3 tampil dengan gaya dikemas kini di mana ia dipadankan bersama lampu utama lebih tajam, lampu DRL LED, lampu belakang serta rekaan bampar baharu.

Di bahagian dalam, ia dilengkapi ciri baharu seperti pencahayaan ambien, sistem bunyi Tesla dengan 17 pembesar suara, dwi subwoofer serta dwi amplifier.

Selain itu, turut dimuatkan ialah tempat duduk berventilasi, paparan baris kedua lapan inci, konsol tengah yang direka bentuk semula serta menggunakan kaca akustik 360 darjah untuk memberikan ruang kabin lebih senyap.

Untuk makluman, ruang kabin Model 3 didatangkan  dengan kemasan ruang dalaman berwarna hitam, tetapi sekiranya pelanggan ingin menukarnya dengan pilihan lain, terdapat kos tambahan dikenakan iaitu sebanyak RM5,000.

Tesla Model 3 diserlahkan lagi melalui pilihan rim baharu iaitu Photon Wheels 18-inci (standard) dan Nova Wheels 19-inci, dengan kos tambahan RM7,500 sahaja.

Perincian lain termasuklah ciri pemanduan automatik, pilihan kepada fungsi Enhanced Autopilot disediakan membabitkan ciri Auto Lane Change dan Autopark dengan bayaran tambahan RM16,000, manakala untuk Basic Autopilot didatangkan sebagai standard.

Bagi menikmati ciri pemanduan kendiri sepenuhnya tambahan RM32,000 dikenakan untuk semua fungsi Basic Autopilot dan Enhanced Autopilot.

Pilihan warna bagi Tesla Model 3 untuk pasaran Malaysia adalah seperti berikut:

  • Pearl White Multi-Coat (standard)
  • Solid Black (tambah RM5,000)
  • Deep Blue Metallic (tambah RM5,000)
  • Stealth Grey (tambah RM7,500)
  • Ultra Red (tambah RM11,000)

Beralih kepada kuasa pula, Model 3 Rear Wheel Drive (RWD) dilengkapi dengan motor tunggal di belakang, memberikan jarak maksimum 513km (WLTP) dengan sekali cas manakala daya pecutan 0-100 km/j hanya mengambil masa dalam masa 6.1 saat.

Bagi Model 3 Dual Motor All-Wheel Drive pula, ia dijana oleh dua motor serta bateri berkapasiti lebih besar, menawarkan jarak gerak 629km dengan sekali cas (WLTP).

Untuk jaminan asas kenderaan, kedua-dua varian itu menerima waranti empat tahun atau 80,000 kilometer.

Untuk harga, Tesla Model 3 boleh dimiliki pada harga bermula RM189,000 untuk varian Rear-Wheel Drive sementara, varian Long Range Dual Motor All-Wheel Drive ditawarkan dengan tanda harga bermula RM218,000.

Pelanggan kini boleh membuat pesanan di www.tesla.com/en_my/model3, dan penghantaran akan bermula pada penghujung tahun 2023.

Selain pelancaran Model 3, Tesla Malaysia juga merasmikan pembukaan pusat pengalaman Tesla pertama Malaysia di Pavilion Damansara Heights.

Menurut Tesla Malaysia, pembukaan Pusat Pengalaman Tesla pertama di Malaysia membolehkan pelawat melihat serta merasai sendiri rangkaian kenderaan Tesla seperti Model 3 dan Model Y.

GALERI:

Google ads
Back to top button