Buletin

GATAL PASANG LAMPU HIASAN MATA BERKELIP? DENDA RM2K ATAU PENJARA

Pemandu kenderaan yang memasang lampu hiasan berkelip dikenali sebagai ‘devil eyes’ berdepan tindakan undang-undang, termasuk denda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan jika disabitkan kesalahan. Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Tn, Zulkifly Ismail berkata penggunaan lampu berkenaan semakin mendapat perhatian khususnya pada kenderaan berat seperti lori.

Pemasangan lampu yang tidak mematuhi spesifikasi boleh mengganggu tumpuan pemandu lain dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya. Menurut beliau, lampu hiasan ‘devil eyes’ termasuk dalam kategori pengubahsuaian sistem pencahayaan kenderaan yang tidak dibenarkan. Sebarang lampu yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan tidak boleh digunakan di jalan raya awam.

Tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Kaedah 94, Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959. Pesalah yang disabitkan di bawah peruntukan berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan mengikut Seksyen 119(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

JPJ juga boleh mengeluarkan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1) di bawah Seksyen 59 akta yang sama. Langkah ini membolehkan tindakan diambil terhadap kenderaan yang tidak memenuhi keperluan keselamatan untuk digunakan di jalan raya. JPJ turut memberi perhatian kepada kenderaan yang menggunakan lampu terlalu terang, mempunyai arah pancaran yang tidak betul atau diubah suai sehingga menyilaukan pengguna jalan raya lain.

Sistem pencahayaan yang tidak sesuai boleh menjejaskan penglihatan pemandu, terutama ketika memandu pada waktu malam. Dalam perkembangan berkaitan, JPJ Pulau Pinang merekodkan sebanyak 112 kes melibatkan penggunaan lampu nyahcas berintensiti tinggi atau High-Intensity Discharge (HID) dalam tempoh dua tahun. Daripada jumlah itu, sebanyak 96 kes direkodkan pada 2025, manakala 16 kes lagi dicatatkan sehingga Julai 2026.

Zulkifly menegaskan bahawa lampu yang lebih terang tidak semestinya menjadikan pemanduan lebih selamat. Tahap kesesuaian sistem pencahayaan bergantung pada beberapa faktor, termasuk jenis sumber cahaya, reka bentuk perumah lampu hadapan, corak pancaran, kedudukan pemasangan serta jenis kenderaan, dan bukannya kuasa lampu semata-mata.

Penggantian mentol halogen asal kepada mentol LED atau HID pasaran selepas jualan juga secara umumnya tidak dibenarkan sekiranya perumah lampu dan komponen berkaitan tidak direka bentuk atau diluluskan untuk penggunaan tersebut.

Bagaimanapun, sistem lampu LED atau HID yang dipasang oleh pengeluar kenderaan dibenarkan sekiranya model berkenaan telah melalui proses Kelulusan Jenis Kenderaan (Vehicle Type Approval, VTA) dan memenuhi piawaian teknikal yang ditetapkan.

Google ads
Back to top button