Advertisements
Buletin

RAMAI VIP, ‘INFLUENCER’ PANDU KENDERAAN MEWAH TANPA PERLINDUNGAN INSURANS, CUKAI JALAN – JPJ

Golongan kenamaan dan pempengaruh motivasi adalah antara individu ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah atas kesalahan memandu kenderaan mewah tanpa cukai jalan dan perlindungan insuran di negeri ini.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam, berkata ada antara mereka turut memberi alasan terlupa untuk memperbaharui insurans selain alasan memiliki terlalu banyak kenderaan.

Menurut beliau, ada juga individu ini yang bertindak sedemikian akibat masalah kewangan dan rekod senarai hitam namun masih bergaya menggunakan kenderaan mewah setiap hari.

Katanya, antara kenderaan mewah yang disita JPJ adalah model BYD, Porsche, Toyota Vellfire, BMW, Mercedes dan banyak lagi.

“Namun apa juga alasan yang diberikan, pihak kami tidak akan berkompromi berikutan ia membabitkan undang-undang jalan raya.

“Bagi kenderaan yang tidak mempunyai perlindungan insurans, ia akan memberi impak apabila berlaku kemalangan serta tuntutan yang akan dibuat selepas kemalangan itu berlaku.

“Ia akan menyukarkan pihak yang akan membuat tuntutan sekiranya tiada insuran bagi kenderaan berkenaan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat JPJ Kedah di Jalan Suka Menanti, di sini, hari ini. Menurut Stien, semua alasan dikemukakan itu hanyalah dalih semata-mata untuk melepaskan diri.

Tegas beliau, keadaan kini sudah berubah memandangkan pegawai JPJ dilengkapi teknologi moden, Smart Enforcement Device (SmED) sepanjang operasi ‘Ops Luxury’ dijalankan.

Tambahnya, peranti itu membolehkan pihaknya mengesan kesalahan kenderaan dengan pantas, terutamanya kes membabitkan ketiadaan cukai jalan, perlindungan insurans, dan lesen memandu.

“Sebelum ini, pegawai kami ada menahan pempengaruh motivasi berusia 30-an kerana kenderaan dipandunya tiada cukai jalan dan perlindungan insuran tamat tempoh.

“Apabila ditanya, dia memberi alasan terlupa tetapi kita sita kenderaannya terlebih dahulu.

“Ada juga golongan very important person (VIP) juga memberi alasan sama, tapi kita tak terima kerana mereka melanggar undang-undang jalan raya, ” katanya.

Stien Van Lutam berkata, sepanjang operasi Ops Luxury tahun ini, sebanyak 215 kenderaan mewah disita kebanyakannya tidak mempunyai perlindungan insuran dan cukai jalan.

“Jumlah itu meningkat berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 46 kenderaan pada tahun 2025.

“Bagi kenderaan yang disita kerana tiada perlindungan insuran dan cukai jalan, kes akan dibawa terus ke mahkamah,” katanya. – Berita Harian

Google ads
Back to top button