Buletin

PUSPAKOM, JPJ TEGAS PERTAHAN INTEGRITI PEMERIKSAAN: TIADA KOMPROMI TERHADAP TAKTIK SEWA TAYAR

PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM) menyatakan sokongan terhadap tindakan penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung kegiatan penyewaan tayar untuk membolehkan kenderaan perdagangan melepasi pemeriksaan berkala di Gebeng, Kuantan.

Kegiatan yang terbongkar menerusi Ops Bengkel itu dipercayai menawarkan tayar yang memenuhi piawaian pemeriksaan pada kadar sewaan antara RM100 hingga RM150 bagi setiap kenderaan.

Menerusi skim berkenaan, tayar yang berada dalam keadaan baik dipasang sementara pada kenderaan ketika pemeriksaan dijalankan sebelum ditanggalkan semula selepas kenderaan memperoleh kelulusan.

Kenderaan terbabit kemudian kembali beroperasi menggunakan tayar asal yang sudah haus.

Operasi itu dilaksanakan secara bersama oleh JPJ Pahang dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman, berkata amalan berkenaan menjejaskan tujuan sebenar pemeriksaan berkala, iaitu memastikan kenderaan perdagangan memenuhi piawaian keselamatan ketika berada di jalan raya.

Menurutnya, kelulusan pemeriksaan tidak lagi menggambarkan keadaan sebenar kenderaan sekiranya komponen keselamatan diganti sementara hanya untuk melepasi ujian.

Beliau berkata, pemeriksa PUSPAKOM menjalankan pemeriksaan mengikut prosedur ditetapkan, namun pihaknya tidak dapat mengawal keadaan kenderaan selepas meninggalkan pusat pemeriksaan.

“Apabila tayar ditukar selepas pemeriksaan, sijil yang dikeluarkan tidak lagi mencerminkan keadaan sebenar kenderaan di jalan raya. Situasi ini meletakkan pemandu dan pengguna jalan raya lain dalam risiko,” katanya.

PUSPAKOM turut menegaskan bahawa semua pemeriksaan dilaksanakan berdasarkan piawaian yang ditetapkan JPJ dan digunakan secara seragam di setiap pusat pemeriksaan, tanpa sebarang pengecualian.

Syarikat itu juga mengingatkan orang ramai supaya tidak menganggap bengkel, pembekal aksesori atau ejen perkhidmatan pihak ketiga sebagai wakil PUSPAKOM yang mempunyai kuasa menentukan piawaian pemeriksaan.

Dalam pada itu, PUSPAKOM menggesa supaya pemantauan dan tindakan penguatkuasaan turut diperluaskan kepada pihak yang membantu memintas prosedur pemeriksaan, selain pengendali kenderaan yang terbabit.

Menurutnya, kenderaan yang menggunakan tayar sewaan untuk mendapatkan kelulusan berkemungkinan gagal dalam pemeriksaan berikutnya selepas enam bulan sekiranya kembali menggunakan tayar asal yang tidak memenuhi piawaian.

Sehubungan itu, pemilik kenderaan perdagangan dan pengendali armada diseru supaya memastikan penyelenggaraan kenderaan dilakukan secara berterusan, bukannya hanya menjelang tarikh pemeriksaan berkala.

PUSPAKOM turut menggalakkan pengendali dan pemandu yang berdepan tekanan untuk menyertai kegiatan sedemikian supaya membuat laporan melalui saluran rasmi JPJ.

Google ads
Back to top button