Buletin

TUNGGAKAN RM314 JUTA: MOT GANTUNG PERKHIDMATAN MYEG DAN ZETRIX AI

Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan penggantungan perkhidmatan My E.G. Sdn. Bhd. (MYEG) dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut hasil JPJ berkuat kuasa 5 Oktober 2026.

Keputusan itu dibuat selepas kedua-dua syarikat berkenaan didakwa gagal memindahkan kutipan hasil kerajaan kepada Akaun Terimaan Utama Pejabat Perakaunan MOT dalam tempoh yang ditetapkan.

MYEG yang dilantik sebagai ejen pemungut sejak tahun 2000 mengendalikan pelbagai urusan JPJ secara dalam talian termasuk pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), Lesen Memandu Malaysia (LMM), pertukaran hak milik kenderaan serta pembayaran saman elektronik.

Sebagai ejen pemungut, syarikat tersebut diwajibkan memindahkan hasil kutipan kepada kerajaan dalam tempoh satu hari bekerja selepas transaksi dilaksanakan.

Menurut MOT, jumlah tunggakan yang belum dipindahkan bagi tempoh antara 19 Mei hingga 30 September 2026 mencecah RM314 juta.

Bagi mendapatkan semula hasil tersebut, MOT dan JPJ telah melaksanakan pelbagai usaha termasuk mengadakan empat sesi libat urus dengan pihak berkepentingan, termasuk Kementerian Kewangan, selain mengeluarkan 35 notis peringatan serta menetapkan tempoh penyelesaian tunggakan.

Pada 21 Ogos lalu, syarikat terbabit menyerahkan cek bernilai RM231 juta bertarikh 30 September 2026 sebagai sebahagian penyelesaian tunggakan. Namun, ketika cek itu dikemukakan untuk proses kredit pada tarikh berkenaan, pihak bank dilaporkan tidak memproses pembayaran susulan arahan daripada syarikat terbabit.

Susulan perkembangan itu, MOT dan JPJ mengambil keputusan menggantung penggunaan saluran MYEG dan Zetrix AI bagi semua transaksi berkaitan JPJ.

Walau bagaimanapun, kementerian memberi jaminan bahawa penggantungan tersebut tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.

Orang awam masih boleh menjalankan urusan melalui aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kaunter dan kios JPJ serta saluran lain yang disediakan oleh jabatan berkenaan.

Bagi pembayaran saman melibatkan warga asing di pintu masuk Malaysia-Singapura, JPJ akan menyediakan Kaunter Mobile JPJ di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor, dari jam 8 pagi hingga 10 malam.

Selain itu, calon yang ingin menduduki Ujian Teori KPP01 boleh berbuat demikian melalui 85 Institut Memandu yang diluluskan untuk menjalankan ujian berkomputer.

MOT turut memaklumkan bahawa tindakan perundangan akan diambil bagi mendapatkan semula keseluruhan tunggakan hasil kerajaan yang masih belum diselesaikan.

Menurut kementerian, kerajaan memandang serius sebarang kegagalan mematuhi tanggungjawab berkaitan pengurusan dan pemindahan hasil awam serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal memenuhi kewajipan melibatkan wang kerajaan.

Pada masa sama, MOT dan JPJ menegaskan komitmen mereka untuk memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara serta penyampaian perkhidmatan awam kekal berjalan lancar tanpa gangguan.

Google ads
Back to top button