Buletin

GMC ACADIA SERBA BAHARU – SATU LAGI SUV DENGAN GAYA AMERIKA YANG CUKUP AMERIKA-NYA

Pengeluar kenderaan tersohor dari Amerika Syarikat, GMC bersedia untuk memperkenalkan SUV GMC Acadia serba baharu kepada pasaran SUV keluarga. Ini adalah generasi ketiga GMC Acadia bagi menggantikan generasi kedua yang telah pun berada di pasaran semenjak tahun 2017 lagi.

GMC Acadia baharu ini mempunyai dimensi yang lebih panjang, lebih lebar dan juga lebih tinggi berbanding generasi sebelumnya. Ianya 10.6 inci lebih panjang serta 3.2 inci lebih tinggi berbanding Acadia generasi kedua bagi memberikan ruang yang lebih lega buat penumpang sekali gus menawarkan pilihan tujuh atau lapan tempat duduk penumpang bergantung varian.

Begitu juga ruang kargo belakang yang lebih luas sekali pun kerusi barisan ketiga tetap digunakan. Terima kasih kepada rekaan dan ruang dimensi yang lebih besar ini.

Jelas sekali rekaan bahagain hadapan GMC Acadia ini menampilkan rupa yang lebih berani dan menyerlah dengan berinsipiraskan sebuah trak gayanya tetapi masih mengekalkan ciri premium yang ada pada sebuah model GMC.

Tetapi paling ketara adalah perubahan pada rekaan pillar c yang telah dianjak terus ke belakang berbanding generasi sebelumnya menggunakan rekaan pillar c dan pillar d di bahagian belakang. Lebih kemas orang kata.

Berbanding saudara maranya yang menggunakan tren kuasa lebih besar dan pelahap bahan bakar, GMC Acadia ini pula hanya menggunakan enjin 2.5 liter lengkap dengan pengecas turbo bagi menghasilkan kuasa yang lebih mantap. Ianya dikatakan mampu menghasilkan kuasa 328 kuasa kuda dan 326 lb-ft tork yang dipadankan dengan kotak gear auto lapan kelajuan. Malah, enjin ini turut berupaya untuk menarik beban di belakang dengan berat sehingga 5,000 Pound.

Bahagian kabinnya menampilkan rekaan sistem infohiburan bersaiz 15 inci yang diposisikan secara menegak bagi memberikan lebih kawalan kepada pemandu untuk mendapatkan info penting mahu pun memberikan hiburan kepada penumpang yang lain. Begitu juga paparan kluster meter yang kini dipaparkan secara digital menerusi skrin bersaiz 11 inci.

Kerusi barisan kedua kini turut ditawarkan dengan kerusi kapten sebagai pilihan untuk lebih eksklusif selain daripada kerusi bangku biasa dengan tiga tempat duduk bagi membolehkan maksimum lapan penumpang dimuatkan tanpa masalah.

Ciri keselamatan dan keselesaan lain yang ditawarkan termasuklah sistem Super Cruise yang merupakan model kelima dalam keluarga GMC dilengkapkan dengan teknologi bantuan pemanduan bebas tangan terkini.

Model serba baharu untuk tahun 2024 ini dijangka dijual pada aras harga sekitar USD 40,000 (RM187,360).

BACA : GMC HUMMER EV LAKU KERAS, HABIS TERJUAL UNTUK TEMPOH DUA TAHUN

BACA : CHEVROLET TRAVERSE Z71 – SUV KELUARGA YANG RUGGED

Google ads

B K

Back to top button