
SELAMAT JALAN MINI CLUBMAN – TIADA LAGI BUKAAN PINTU BELAKANG KLASIK SELEPAS INI
Nampaknya tiada lagi tempat untuk Mini Clubman di dunia ini kerana pengeluarnya berpendapat mereka tidak perlukan dua model lima pintu dalam barisan model mereka. Ini bermakna Mini Clubman Final Edition 2024 merupakan model Clubman terakhir dikeluarkan. Sedih betul sebab satu pun kami masih tak mampu nak beli.

Peminat-peminat tMini nampaknya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada model yang menggunakan bukaan pintu klasik ini. Clubman sebelum ini mula diperkenalkan pada tahun 2007 dan pada awalnya mempunyai rekaan tiga pintu. Masuk ke generasi kedua ia menjelma menjadi model lima pintu yang mungkin menjadi faktor takdirnya sebegini.
Menurut Stefanie Wurst, bos Mini, mereka masih mempunyai Countryman dan model konsep Aceman walaupun Aceman sedikit kecil. Bahkan jika dilihat pada angka jualan seluruh dunia, angka jualan Countryman adalah jauh lebih tinggi berbanding Clubman. Ye la, siap nak rugi kan?

Keputusan ini diambil selepas Mini memulakan program elektrifikasi mereka. Walaupun model elektrik sepenuhnya hanya akan diperkenalkan menjelang 2030, Mini sudah mula memperkenalkan Mini baharu dan Mini Countryman terkini. Mereka juga bakal memperkenalkan Mini Aceman dalam sedikit masa lagi.
Ia mula didedahkan kepada umum sebagai Aceman EV Concept pada 2022. Ia lebih pendek berbanding Countryman tapi lebih tinggi. Kemungkinan besar ia akan bersaing dalam segmen crossover kompak. Berdasarkan gaya jelas sekali ia disasarkan untuk golongan berkemampuan. Dah namanya pun Mini kan?
Jadi kalau mampu baik beli terus Mini Clubman Final Edition 2024 ni. Ia lebih mahal dari Clubman standard dan hanya dihasilkan sebanyak 1969 unit untuk pasaran seluruh dunia.
