Artikel Pilihan

SUBARU MUNGKIN KEMBALI KE PERSADA WRC – TERIMA KASIH AKIO TOYODA

Akio Toyoda mungkin sudah bersara dari jawatan Presiden Toyota tapi semua orang tahu yang beliau kini makin aktif dalam sukan motor dan aktiviti promosi kereta. Bukan hanya daripada jenama beliau sendiri tetapi juga daripada jenama lain. Baru-baru ini tersebar gambar Toyoda sedang memandu Honda Vezel dan terbaru Toyoda dikatakan bakal membantu Subaru kembali ke arena WRC.

Sewaktu acara Rali Acropolis baru-baru ini, Mohamed Ben Sulayem, Presiden FIA telah berkesempatan menemui Akio Toyoda dan meminta idea beliau untuk menarik minat lebih ramai pengeluar kenderaan menyertai WRC. Toyoda menjadi pilihan kerana minat beliau yang mendalam dalam perlumbaan dan beliau sendiri seorang peminat kereta sebenar. Menariknya Toyoda terus menyebut nama Subaru.

Turut memiliki sebahagian saham Subaru dan mereka akan memberikan bantuan kepada Subaru untuk kembali ke arena WRC. Sulayem berkeyakinan dengan perwatakan Toyoda yang semestinya akan mengotakan setiap kata-kata yang diucapkan.

Kali terakhir Subaru beraksi dalam perlumbaan WRC ialah pada musim 2008 dan menarik diri selepas krisis ekonomi global. Mereka juga mengentikan pengeluaran enjin EJ20 dan varian WRX STI. Kini WRC sudah mengalami perubahan dengan kereta-kereta dihasilkan berdasarkan spesifikasi Rally1 dan tidak lagi berdasarkan model produksi.

Macam jentera Nascar yang menyerupai kereta jalanan biasa tapi sebenarnya bahagian badan ‘dilekatkan’ pada casis yang dihasilkan dari logam ringan teknologi aeroangkasa. Mudahkan? Subaru cuma perlu membalut casis tersebut dengan bahagian luaran WRX.

Satu lagi cabaran untuk Subaru ialah mereka memerlukan enjin 1.6 liter turbo yang dipadankan dengan sistem hybrid. Subaru tidak mempunyai trenkuasa sedemikian tapi Toyoda mungkin boleh membantu Subaru dengan memberikan trenkuasa dari Toyota.

Menariknya Toyota sekarang sedang beraksi dalam WRC dan mereka juga cukup dominan dengan GR Yaris kebanggaan mereka. Kemasukan Subaru sudah tentu akan menggugat penguasaan Yaris dalam merebut kejuaraan. Hah, macam mana tu?

Rasanya tak ada masalah kot? Toyota sendiri memegang 20 peratus kepentingan dalam Subaru dan kejayaan Subaru juga bermakna keuntungan masuk ke poket mereka. Sama juga kan? Toyota menang mereka untung dan Subaru menang pun mereka untung. Kita sebagai penonton pun lagi seronok sebab boleh tengok Subaru kembali beraksi macam dulu-dulu.

Google ads
Back to top button