
GMC YUKON DENALI – INILAH DEFINISI SEBENAR SUV BERSAIZ PENUH YANG RUGGED
GMC Yukon ini barangkali mempunyai persamaan dengan saudaranya si Chevrolet Suburban, dengan mempunyai saiz penuh yang cukup besar dan bagak. Dan ini adalah versi GMC Yukon Denali, tampil dengan imej yang lebih rugged.
Dan untuk plat nama Denali itu sendiri, ianya mentafsirkan sebagai sebuah model kemegahan bagi setiap model keluaran mereka bagi GMC sendiri. Dan GMC Yukon Denali ini sememangnya dikenali sebagai model kemegahan buat model Yukon ini.

Fascia bahagian hadapan GMC Yukon Denali ini sememangnya dikenali dengan gril yang cukup besar bersaiz meja pingpong serta dilengkapi lampu utama LED dan juga DRL yang mengapit kiri dan kanan dengan rekaan yang sedikit unik dan berani. Dan kedua lampu di hadapan dan belakang dilengkapi dengan fungsi animasi serta mempunyai bumbung panorama suria untuk sedikit kesan premium kepada pemilik.
Melengkapkan penampilan luaran SUV ini adalah penggunaan rim bersaiz 24 inci. Ini barulah rugged.
Bahagian dalam kabin menampilkan sistem Pusat Maklumat GMC yang premium dengan paparan antara muka secara menegak yang membolehkan pengguna menyesuaikan penyepaduan peta, input audio, diagnostik kenderaan dan banyak lagi maklumat ke dalam paparan skrin yang bersaiz 16.8 inci itu. Juga terdapat paparan skrin sesentuh kawalan suhu di bahagian belakang untuk memastikan penumpang kekal selesa.

Selain daripada tempat duduk yang selesa, ianya juga menggunakan sistem pembesar suara daripada Bose dengan 22 pembesar tersedia dengan terdapat juga pembesar suara tersendiri untuk tempat duduk kapten di bahagian perehat kepala, jadi tidaklah perlu penumpang untuk berebut skrin kerana paparan skrin tersendiri yang lengkap dengan audio.
Bahagian dalamannya juga berupaya menampilkan sehingga lapan tempat duduk tempat masalah. Cumanya untuk lebih rasa eksklusif, pembeli cenderung memilih varian dengan tujuh tempat duduk di mana kerusi barisan kedua menggunakan tempat duduk kapten yang lebih selesa. Juga terdapat fungsi pengudaraan dan mengurut untuk kerusi barisan hadapan dan kedua.

Untuk GMC Yukon Denali ini, ianya akan dibekalkan dengan enjin 6.2-liter V-8, yang mempunyai kuasa sehingga 420 HP yang dipadankan dengan transmisi automatik 10 kelajuan dengan pacuan semua roda.
Walau pun mempunyai saiz yang cukup besar namun keupayaan memecut dari titik 0 ke angka 100 km/j boleh tahan juga sebenarnya apabila hanya memerlukan sekitar enam saat sahaja. Begitu juga dengan keupayaan menunda untuk varian Denali ini sehingga beban seberat 3,720 kg bagi membolehkan ianya menunda trailer yang lebih besar di belakang tanpa masalah.
BACA : CHEVROLET SUBURBAN RST – NAMPAK MACAM SAMA TAPI BUKAN DIA

