Artikel Pilihan

CHEVROLET SUBURBAN RST – NAMPAK MACAM SAMA TAPI BUKAN DIA

Nah, sekali imbas memang macam pernah tengok aja SUV bersaiz bagak Chevrolet Suburban ini. Iya, tidak syak lagi. Rekaan luarannya macam tak ada beza sangat. Dah nama pun dibina berkongsi platform, apalah yang boleh diharap sangat pada rekaan luarannya kan?

BACA : CADILLAC ESCALADE – SUV MEWAH GAYA AMERIKA SEJATI

BACA : CHEVROLET TRAX 2017

Tapi yang ini bukan sembarangan SUV. Ini adalah edisi Chevrolet Suburban RST. Model tingkat taraf bagi model tahun 2019 nanti. Dari segi luaran, ianya tidak banyak beza dengan kembar beliau, Cadillac Escalade. Perbezaan ketara hanyalah pada rekaan lampu utama, gril dan juga bampar hadapan yang menampilkan imej sebuah Chevrolet. Yang lain-lain sama.

Untuk model Chevrolet Suburban yang biasa, ianya hanya menggunakan enjin  5.3L V8. Nampak macam power dah. Tapi barangkali belum cukup power orang kata. Dan untuk edisi RST ini, Chevrolet telah menggunakan enjin 6.2L V8 yang mampu menghamburkan kuasa sekitar 420hp. Dipadankan pula dengan kotak gear baharu Hydra-Matic 10L80 10 Kelajuan. Bila dah banyak gear macam ni, memang jenis kena pandu atas lebuhraya sahajalah nampak gayanya baru merasa cecah sampai ke gear ke 10.

Dan untuk edisi RST, model ini turut dilengkapi dengan Magnetic Ride Control bagi mengoptimumkan lagi pemanduan. Sistem ini berfungsi dengan cara ianya membaca setiap milisaat tentang sebarang bentuk permukaan yang dilalui oleh SUV bersaiz penuh ini. Hasilnya, sistem gantungan mampu mempertingkatkan lagi kawalan pergerakan badan SUV yang besar ini sama ada sewaktu melalui selekoh atau pun merentasi laluan lurus lebuhraya.

Bagi meningkatkan lagi prestasi Chevrolet Suburban ini, sistem ekzos berkembar kustom milik Borla turut dipasangkan. Ianya terbukti mampu melancarkan aliran ekzos sekaligus meningkatkan prestasi sehingga 28%. Tapi bila dah nama aksesori berprestasi, jangan haraplah penggunaan bahan bakar nak jimat.

Manakala bagi memberhentikan sang gergasi ini, sudah tentulah penggunaan brek dari jenama Brembo meliputi caliper aluminium yang dipadankan pula dengan rotor yang berdiameter lebih besar berbanding ciri standard menjanjikan tahap pemberhentian pada kadar segera.

 

Dan penggunaan rim bersaiz 22 inci jelas menyerlahkan lagi rupa Chevrolet Suburban yang kelihatan garang apabila warna krom telah digantikan dengan warna hitam gelap meliputi gril, pemegang pintu, penutup cermin sisi, rail bumbung dan juga trim tingkap. Gaya street racing katanya.

 

Google ads

B K

Back to top button