Buletin

CHERY TIGGO 7 SPORT DILANCARKAN SEPTEMBER INI DI CHINA – JANA 194HP, HARGA BERMULA RM61K

Chery bakal melancarkan sebuah model seakan-akan Land Rover, Chery Tiggo 7 Sport pada September ini.

Menerusi foto-foto yang didedahkan, bahagian hadapan Chery Tiggo 7 Sport merupakan bahagian paling menyerupai Land Rover.

Gril mesh digunakan hampir menyerupai gril kenderaan off-roader dari Britain itu, yang turut dikuatkan dengan rekaan saluran udara, bampar, pelindung skid serta daytime running lights (DRL) – kelihatan mirip dengan Range Rover Evoque.

Walaupun ia dinamakan Chery Tiggo 7, versi Sport ini tidak mempunyai banyak persamaan dengan model Tiggo 7 yang lain.

Sebaliknya, ia lebih menyerupai Jaecoo J7 atau dikenali sebagai Chery Tansuo 06 di China.

Berdasarkan maklumat terbaru dari senarai Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China, Chery Tansuo 06 menawarkan rekaan hadapan yang serupa sebagai pilihan untuk Tiggo 7 Sport.

Di bahagian sisi, kedua-dua kereta ini mempunyai ciri-ciri yang hampir sama iaitu pemegang pintu tersembunyi dan rak bumbung.

Namun, Tiggo 7 Sport lebih disasarkan kepada pengguna bandar, manakala Tansuo 06 mempunyai imej yang lebih lasak untuk penggunaan luar bandar.

Meskipun fokus urban, Tiggo 7 Sport dilengkapi dengan ruang penyimpanan yang dipasang di antara tiang C dan D di bahagian kiri kereta.

Di bahagian dalam, kedua-dua kereta hampir serupa, di mana Chery Tiggo 7 Sport menampilkan panel instrumen terapung dan skrin infotainmen yang besar.

Walaupun butiran trenkuasa untuk Chery Tiggo 7 Sport belum diumumkan, dijangka ia akan berkongsi spesifikasi dengan Tansuo 06.

Ini bermakna ia akan dilengkapi dengan enjin 1.6T turbocharged yang menghasilkan kuasa maksimum 194hp dan tork sehingga 290Nm.

Nadi berkenaan dipadankan dengan kotak gear dwi-klac basah tujuh kelajuan.

Untuk harga pula, Chery Tiggo 7 Sport bakal diberi tanda harga bermula AS$14,000 (RM61,351).

Google ads
Back to top button