
TOYOTA PENING KEPALA, ENJIN TUNDRA KENA RECALL LAGI
Jenama Toyota yang selama ini cukup sinonim dengan ketahanan dan kebolehpercayaan mulai pudar apabila pengeluar Jepun tersebut nampaknya sedang berdepan salah satu isu terbesar dalam sejarah moden mereka. Terbaru ialah Toyota perlu melakukan lagi recall apabila masalah melibatkan enjin V6 twin-turbo yang digunakan oleh Toyota Tundra di Amerika.
Toyota kini dilaporkan memperluaskan lagi recall melibatkan Toyota Tundra selepas sebelum ini lebih 100,000 unit sudah dipanggil semula untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut. Recall terbaru ini turut melibatkan model mewah di bawah jenama Lexus, termasuk Lexus LX dan Lexus GX yang menggunakan enjin yang sama.
Masalah utama dipercayai berpunca daripada serpihan logam halus atau “machining debris” yang tertinggal di dalam enjin ketika proses pembuatan enjin. Walaupun nampak seperti isu kecil, serpihan besi tersebut boleh menyebabkan kerosakan serius pada bearing crankshaft utama. Dalam penggunaan harian, terutama apabila kenderaan dipandu dalam tempoh lama atau membawa beban berat, bearing berkenaan boleh haus dengan cepat sebelum akhirnya menyebabkan kegagalan enjin.
Antara simptom yang dilaporkan termasuk bunyi knocking pada enjin, kehilangan kuasa ketika memandu, enjin mati secara tiba-tiba dan dalam beberapa kes lebih serius, kerosakan total sehingga keseluruhan enjin perlu diganti. Isu ini dianggap lebih membimbangkan kerana ia bukan sekadar melibatkan masalah elektronik atau software biasa, sebaliknya kerosakan mekanikal dalaman yang boleh memberi kesan besar terhadap ketahanan jangka panjang kenderaan.
Menurut laporan, recall terbaru ini melibatkan Toyota Tundra keluaran 2022 hingga 2024, Lexus LX bagi tahun sama serta Lexus GX 2024. Namun versi hybrid untuk Tundra dilaporkan tidak terlibat dalam recall kali ini.
Apa yang lebih menarik perhatian ramai ialah Toyota sendiri dikatakan masih belum mempunyai penyelesaian muktamad untuk semua model terlibat. Sebelum ini, terdapat beberapa kes di mana pengeluar itu mengambil keputusan menggantikan keseluruhan enjin bagi unit yang mengalami kerosakan serius. Namun bagi recall terbaru ini, Toyota dilaporkan masih sedang membangunkan penyelesaian rasmi untuk pelanggan terjejas.
Terdapat juga laporan bahawa beberapa enjin yang dihasilkan selepas recall awal masih berada dalam siasatan dalaman syarikat itu. Perkara ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa Toyota sendiri masih cuba memastikan sama ada masalah tersebut benar-benar berjaya dihapuskan sepenuhnya di peringkat pengeluaran.
Bagi ramai pengguna, Toyota sering dianggap sebagai jenama yang terkenal dengan ketahanan luar biasa dan kos penyelenggaraan rendah. Disebabkan itu, isu kali ini memberi tamparan besar kepada reputasi mereka, terutama di pasaran Amerika Utara yang menjadikan Toyota Tundra sebagai antara model penting untuk bersaing dengan trak popular seperti Ford F-150 dan Chevrolet Silverado.
Tambahan pula, enjin V6 twin-turbo ini merupakan pengganti kepada enjin V8 lama Toyota yang cukup terkenal dengan ketahanan dan karakter lasak. Jadi apabila enjin generasi baharu mula dikaitkan dengan masalah kegagalan besar seperti ini, ramai peminat mula mempersoalkan sama ada trend downsizing dan penggunaan turbo benar-benar mampu menawarkan ketahanan jangka panjang seperti enjin lama.







