
SUV OFF-ROAD TERBAHARU LAND ROVER JAUH LEBIH GANAS…
Land Rover dilihat sedang membangunkan versi lebih ekstrem bagi model lasak Defender Octa, tidak sampai dua tahun selepas SUV berprestasi tinggi itu diperkenalkan ke pasaran.
Model baharu yang masih dirahsiakan namanya itu dipercayai bakal menjadi antara Defender paling ganas pernah dihasilkan, dengan kemampuan off-road yang dipertingkat ke tahap lebih luar biasa.
Prototaip kenderaan berkenaan baru-baru ini dikesan menjalani ujian di litar terkenal Nürburgring dalam keadaan diselaputi penyamaran tebal.

Walaupun diuji di trek perlumbaan, model ini dilihat lebih menjurus kepada ketahanan dan keupayaan meredah laluan mencabar berbanding prestasi atas jalan raya semata-mata.
Antara perubahan ketara yang dapat dilihat ialah pemasangan snorkel berkembar pada kedua-dua tiang A, sekali gus membolehkan SUV itu meredah air yang lebih dalam tanpa risiko kerosakan enjin akibat kemasukan air.
Selain itu, ia turut menggunakan tayar Goodyear Wrangler yang lebih besar dan agresif, di samping posisi badan – kelihatan lebih tinggi daripada Defender Octa standard.
Rekaan gerbang tayar juga dipercayai lebih lebar, memberi petunjuk bahawa Land Rover mahu meningkatkan lagi reputasi Defender sebagai jentera off-road premium yang sukar dicabar.

Dari segi kuasa, model ini dijangka masih menggunakan enjin 4.4 liter V8 twin-turbo sumber BMW yang sama seperti Defender Octa.
Enjin itu ketika ini menghasilkan 626hp dan 750Nm tork, menjadikannya Defender paling berkuasa pernah dibina. Namun, tidak mustahil Land Rover akan menambah lagi angka prestasi tersebut untuk versi terbaharu ini.
Jika model ini benar-benar diperkenalkan bersama versi facelift Defender 2027 nanti, ia dijangka menerima beberapa kemas kini tambahan termasuk rekaan gril hadapan baharu serta pilihan tempat duduk kapten untuk barisan kedua kabin.








