Buletin

HYUNDAI SANTA FE 2024 TAMPIL BERKOTAK, LEBIH MEWAH, HAMBURAN KUASA 277HP

Hyundai baru-baru ini memperkenalkan model baharu iaitu Santa Fe 2024 dan sorotan pastinya terarah kepada reka bentuknya yang kelihatan berkotak disamping tambahan ciri futuristik.

Hyundai bagaimanapun tidak mendedahkan dimensi model baharu itu namun mempunyai jarak roda yang menjangkau 2,765mm dan berukuran 4,770 panjang keseluruhan.

Dari segi penggayaan, Hyundai Santa Fe 2024 menampilkan rekaan berkotak berserta lampu yang funky, bermotif ‘H’ selain, diserlahkan lagi melalui rim 21-inci dan dibaluti tayar 245/45/21.

Di bahagian belakang, lampu belakang diletakkan agak ke bawah, manakala logo Hyundai serta tulisan “Santa Fe” besar diletakkan pada pintu but. Secara keseluruhan, ia mengingatkan kita kepada model Land Rover Defender.

Walaupun Santa Fe semasa hanya tersedia konfigurasi dua baris, Hyundai berkata ia akan menawarkan barisan ketiga tempat duduk dalam versi baharu.

Menjengah ke dalam kabin, ia tampil lebih mewah berbanding sebelumnya, di mana ia dimuatkan dwi-skrin 12.3-inci, dua pad pengecasan tanpa wayar di konsol tengah, kemasan kulit nappa, ruang meletakkan botol, ruang simpanan barang di bahagian bawah, corong pendingin hawa yang panjang berterusan di papan pemuka.

Beralih kepada kuasa, ia dipacu oleh enjin 2.5 liter turbo Smartstream G2.5T-GDi, menghasilkan 277hp dan tork 422 Nm. Nadi berkenaan dipadankan dengan transmisi DCT lapan kelajuan.

Untuk harga, tiada pengumuman rasmi dinyatakan setakat ini dan butiran lebih terperinci hanya dibuat semasa pelancaran rasmi pada Ogos nanti.

Google ads
Back to top button