Pandu Uji

HYUNDAI CRETA 1.5 PLUS, PENGGANTI HYUNDAI KONA?

Perkataan Creta mungkin agak pelik, tapi ia sebenarnya bole dikaitkan dengan perkataan Creative, dan seperti biasa adalah menjadi kelaziman pada kumpulan Hyundai menamakan model kenderaan mereka dengan nama tempat.

Jadi perkataan Creta juga boleh dikaitkan dengan Pulay Crete, Greek yang memiliki pantai yang cantik. Jangan salah anggap kerana Hyundai Creta sebenarnya muncul sebelum kelahiran model SUV B Segmen popular Hyndai iaitu Kona.

Hyundai Creta dilancarkan buat pertama kali pada tahun 2014 dikhususkan untuk negara yang telah membangun seperti Brazil, Russia, India, China dan juga Asia Tenggara (BRICS) manakala Hyundai Kona pula ditawarkan untuk pasaran Eropah. Hanya beberapa negara sahaja termasuk Malaysia yang menerima kedua dua model iaitu Creta dan juga Kona

Dari segi saiz, Hyundai Creta datang dengan panjang 4315mm, lebar 1790mm dan juga jarak antara roda pada 2610mm. Dari jauh sebenarnya anda sudah boleh melihat rekaan luar Creta yang kelihatan unik (atau pelik) mengikut citarasa anda

Rekaan depan didominasi dengan tema Parametric Jewel Pattern Grille dimana terdapat beberapa lampu DRL LED tersembunyi di antara bahagian jeriji depan ini. Lampu depan LED diposisikan di bahagian bawah termasuklah lampu tinggi lengkap dengan teknologi Auto High Beam

Secara keseluruhan, Hyundai Creta mengambil inspirasi rekaan Hyundai Palisade yang lebih besar dan mewah serta digabungkan dengan corak rekaan Sensous Sportiness yang digunakan pada model Hyundai Elantra baru

Rekaan bahagian belakang pula mengetengahkan corak rekaan lampu LED Boomerang dengan lampu kabus dipasang dibahagian bampar belakang. Ruang bagasi pula menawarkan 418 liter ruang kargo dengan kusyen barisan belakang boleh dilipat bagi menghasilkan ruang yang lebih besar.

Di bahagian belakang juga anda boleh mengesan kelainan pada rekaan tiang C dimana ia dihasilkan dan diwarnakan dengan warna perak menjadikan Hyundai Creta unit yang dipandu uji kami datang dengan 2 tona. Tiang A pula diwarnakan dengan warna hitam menampilkan rekaan moden dan juga sporti

Untuk kemasan dalaman, Hyundai Creta datang dengan kusyen fabrik, papan pemuka berwarna gelap dengan rekaan “waterfall”, skrin sebesar 10.25 inci untuk meter digital dan juga skrin 8 inci untuk paparan unit multimedia. Hyundai Creta turut menawarkan ciri Android Auto, Apple Car Play, Electric Parking Brake dan AutoHold.

Ruang kaki di bahagian belakang adalah besar dan luas hasil dari rekaan lantai platform yang rata, 2 corong penyaman udara, satu poin USB, perehat tangan dan juga 4 tempat meletak minuman termasuk pada bahagian kemasan pintu

Hanya satu pilihan enjin yang ditawarkan untuk pasaran negara iaitu enjin 4 silinder 1500cc SmartStream yang menawarkan 113 kuasa kuda dan 144Nm. Berbeza dengan unit 1600cc, varian ini direka khusus untuk menawarkan penjimatan bahan api dengan penggunaan EGR (Exhaust Gas Recycle, dengan bantuan sistem VVT) dan juga komponen yang kurang geseran

Sama seperti kebanyakan trenkuasa Hyundai yang lain terutama bagi kereta biasa, ia digandingkan dengan sistem CVT yang dihasilkan sendiri oleh Hyundai Power Transmission iaitu Intelligent Variable Transmission. Berbeza dengan CVT biasa yang menggunakan CVT belt, IVT menggunakan rekaan CVT chain.

IVT juga menawarkan sehingga 8 ratio maya yang boleh dikawal dengan menggunakan paddleshift. Pecutan 0-100km/jam dibuat dalam masa 12 saat dan halaju tertinggi ialah 170km/jam. Secara umumnya, prestasi di atas jalanraya Hyundai Creta adalah memadai untuk sebuah crossover segmen B.

Dalam aspek keselamatan, Hyundai Creta dipasang dengan semua teknologi aktif Hyundai Smart Sense yang merangkumi Forward and Blind Spot Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist, Lane Following Assist, Leading Vehicle Departure Alert, Rear Cross Traffic Collision-Avoidance Assist, Safe Exit Warning dan High Beam Assist.

Cuma sayangnya Hyundai Creta tidak menawarkan ciri Adaptive Cruise Control, menjadikan crossover ini tidak dapat dikategorikan sebagai Self Drive Car Level 2. Sebaliknya Creta hanya diberikan sistem cruise control pasif.

Dari segi pemanduan, gandingan dan talaan yang dibuat antara enjin dan transmisi IVT ini menjadikan crossover ini langsung tidak terasa lemau atau tidak cukup kuasa. Proses penghantaran kuasa adalah lancar, kuat dan responsif untuk sebuah crossover dengan enjin 1500cc aspirasi normal

Masalah rubber band effect yang biasa dialami oleh transmisi CVT biasa tidak terjadi pada Creta melainkan anda memang menekan pedal dengan kuat dan bunyi enjin akan kedengaran dengan kuat daripada bahagian luar.

Pada kebanyakan masa penulis akan menggunakan mode pemanduan Smart yang akan menukar mode pemanduan antara Sport, Normal dan ECO mengikut cara pemanduan anda. Secara purata penggunaan bahan api adalah sekitar 14.8km bagi setiap liter, memandangkan enjin masih lagi “ketat” dengan perbatuan kurang daripada 2000km

Setiap kali anda menggunakan paddleshifter, IVT akan terus kekal pada gear yang rendah dana akan terus menunggu untuk anda memberikan input gear yang seterusnya. Ia direka supaya menghasilkan pemanduan yang sporti sebaik sahaja anda menggunakan paddleshifter.

Sistem brek pula disambung terus dengan sistem RCTA, Blind Spot Colission Avoidance & Braking serta Forward Collision Avoidance yang sememangnya sangat aktif sepanjang masa mengingatkan anda supaya peka dengan keadaan sekeliling dan membrek sekiranya perlu

Namun jika anda menekan pedal brek, kuasa cengkaman brek adalah bagus serta mampu membrek dengan baik dalam semua keadaan termasuklah ketika dalam keadaan kecemasan. Tapi sayangnya tayar Kumho Solus buatan Vietnam terasa kurang mencengkam berbanding dengan tayar lain yang dijual di sini

Hyndai Creta menggunakan topang McPherson di roda depan dan Coupled Torsion Beam Axle di roda belakang. Tetapan spring dan penyerap hentak boleh dikategorikan sebagai “firm & solid” bagi sebuah crossover. Tapi jika anda melalui jalan tidak rata, anda akan terasa penyerap hentak Creta direka sedikit keras dengan gegararan akan sampai pada badan.

Sebaliknya jika anda melalui bonggol, maka Creta akan menyerap dengan baik dan lembut. Keadaan ini memberikan idea kepada penulis yang Creta mungkin dipasang dengan spring dari jenis progressive spring rate, dengan 2 kekerasan yang berbeza pada satu spring

Malah ketika melalui selekoh, olengan cesi Creta berlaku dengan baik dan mula “dive in” ketika ketika memasuki selekoh dengan laju secara sekata bagi mendapatkan cengkaman tambahan pada tayar.

Rekaan kusyen depan terasa kecil sedikit namun selesa untuk pemanduan selama 2 jam tanpa berhenti rehat. Sama seperti crossoer yang lain, anda akan terasa duduk tinggi sedikit berbanding dengan duduk di dalam sedan

Kalau anda seorang yang berani dan konfiden dengan rekaan Hyundai Creta, mungkin crossover yang berharga sekitar RM 150,000 ini sesuai untuk anda. Tambahan pula ia ditawarkan dengan jaminan untuk 300,000km jarak perjalanan dan servis percuma sehingga 50,000km bagi 150 pelanggan yang pertama

Cuma dalam julat harga ini, Hyundai Creta akan menerima saingan sengit dari crossover segmen B atau C seperti Honda HR-V, Toyota Corolla Cross, Mazda CX-3, Mazda CX-30, Peugeot 2008 dan juga model paling popular iaitu Proton X-50

Google ads
Back to top button