
ICAUR 03 RASMI MASUK PASARAN TEMPATAN, HARGA DARI RM119K
Pasaran SUV elektrik di Malaysia menerima kehadiran pesaing baharu dengan pelancaran rasmi iCaur 03, yang ditawarkan pada harga RM119,800.
Rekaan iCAUR 03 menekankan gaya ranggi yang sepadan dengan fungsinya sebagai SUV lasak. Garis badan bersudut bersama pencahayaan LED dinamik menjadikannya tampil menonjol, manakala unjuran pendek pada bahagian depan dan belakang membolehkan sudut mendaki 28 darjah, sudut pelepasan 32 darjah serta kemampuan mengharungi cerun sehingga 55%.
Dibina berasaskan falsafah keselamatan dan kejuruteraan pintar, model ini menampilkan sistem iCARE dengan struktur badan aluminium pertama dalam segmen serta casis monocoque yang tahan karat sehingga 30 tahun.
Ketegaran kilasan 31,882 Nm yang dicapai mengatasi tahap kebanyakan kereta sport semasa. Perlindungan baterinya turut diperkukuh dengan perisai empat lapis IPx8, termasuk lapisan seramik mika dan plat asas aluminium 10mm.

Dari segi saiz, iCaur 03 berukuran 4,406mm panjang, 1,910mm lebar, 1,715mm tinggi serta jarak roda 2,715mm.
Dari segi kuasa, pelanggan boleh memilih sama ada versi pacuan roda belakang (2WD) yang menghasilkan 184PS dengan tork 220Nm, atau varian Pacuan Roda Pintar (iWD) dengan dua motor yang berkuasa 279PS dan tork 385Nm.
Semua ini digerakkan oleh modul elektrik 6-dalam-1 yang menggabungkan kawalan motor, pengecas dalaman dan pengubah, memberikan prestasi lancar di jalan bandar atau laluan mencabar.
Varian 2WD hadir dengan bateri 65.7kWj yang membolehkan jarak sehingga 426 km (NEDC), manakala model iWD menggunakan bateri 69.8kWj dengan jarak 418 km.

Turut disediakan ialah fungsi Vehicle-to-Load (V2L) berkuasa 3.2 kW untuk membekalkan tenaga kepada peralatan luaran.
Bagi kemudahan pengecasan, kedua-dua versi menyokong pengecas pantas DC sehingga 80kW, yang membolehkan bateri dicas dari 30% ke 80% dalam tempoh sekitar 30 minit. Pengecasan AC sehingga 6.6kW turut disediakan untuk penggunaan harian.
Ciri dalaman iCaur 03 dilengkapi teknologi moden termasuk paparan digital 9.2-inci, sistem infotainmen 15.6-inci berkuasa cip Snapdragon 8155, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas tanpa wayar 50W dengan sistem penyejukan, serta bumbung kaca panorama.
Kelengkapan lain termasuklah:
- Paparan pandangan menyeluruh 540 darjah (AVM)
- Pengecas telefon tanpa wayar 50W
- Pembaca NFC
- Sistem pemantauan tekanan tayar
- Kerusi hadapan berfungsi urut (varian iWD)
- Ventilasi untuk semua kerusi
- Sistem audio 12 pembesar suara Infinity
Bukan itu sahaja, turut tersedia adalah ruang simpanan fleksibel 450 liter yang boleh diperluas sehingga 1,238 liter. Kotak tambahan 40 liter pada pintu belakang memberi ruang ekstra untuk barangan kecil.

Dari segi keselamatan, model ini dilengkapi enam beg udara dan pakej bantuan pemandu lanjutan ADAS Tahap 2, yang ditawarkan sebagai kelengkapan piawai bersama ciri-ciri berikut:
- Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
- Maklumat Terlepas Pandu (DAI)
- Amaran Perlanggaran Depan (FCW)
- Kekalkan Lorong Kecemasan (ELK)
- Amaran Keluar Lorong (LDW)
- Amaran Perlanggaran Belakang (RCW)
- Pencegahan Keluar Lorong (LDP)
- Amaran Lalu Lintas Silang Belakang (RCTA)
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
- Bantuan Kesesakan Lalu Lintas (TJA)
- Pengesanan Titik Buta (BSD)
- Amaran Pembukaan Pintu (DOW)
Selain itu, pemilik dilindungi oleh program insurans khas iCARE hasil kerjasama dengan Allianz, Berjaya Sompo, AIG, Etiqa, dan Zurich, yang turut merangkumi perlindungan untuk pengecas Wallbox, kabel mudah alih serta bantuan penundaan tanpa had.

iCAUR 03 ditawarkan dalam lima warna pilihan – Perak, Kelabu, Putih, Hitam dan Hijau Aurora. Edisi Black Phantom pula hadir dengan kit badan eksklusif, kemasan hitam kusam serta aksesori rak bumbung pada tambahan RM20,000.

Seperti dinyatakan di atas, perincian harga untuk setiap varian adalah seperti berikut:
- Varian 2WD: RM119,800
- Varian iWD: RM129,800
Buat masa ini model ini ditawarkan sebagai import CBU, namun pemasangan tempatan dijangka bermula Januari 2026 di kilang Chery Corporate Malaysia di Shah Alam.
GALERI:






























