
iCAUR 03 iWD KINI MULA DIPASANG SECARA TEMPATAN (CKD), HARGA KEKAL BERMULA RM129,880
iCAUR Malaysia melangkah ke fasa baharu apabila model iCAUR 03 kini mula dipasang secara tempatan (CKD).
Langkah itu dilihat sebagai usaha memperkukuh kedudukan jenama berkenaan dalam segmen kenderaan elektrik (EV) yang semakin berkembang di Malaysia.
Selepas diperkenalkan sebagai model import sepenuhnya (CBU) pada September tahun lalu, iCAUR 03 berjaya menarik perhatian pengguna tempatan yang mencari kelainan dalam kategori SUV elektrik.

Rekaan bergaya ‘Boxy Retro’ bersama imej lasak dan teknologi moden menjadikan model itu antara pilihan unik dalam pasaran EV tempatan.
Pada April 2026 sahaja, iCAUR merekodkan sebanyak 547 unit pendaftaran melibatkan rangkaian modelnya, sekali gus menunjukkan peningkatan minat terhadap EV yang menggabungkan rekaan menarik, teknologi pintar dan penggunaan harian praktikal.
Pemasangan tempatan iCAUR 03 bermula pada suku kedua tahun ini di kilang Chery Corporate Malaysia di Shah Alam menerusi kaedah Completely Knocked Down (CKD). Langkah tersebut turut memperkukuh penglibatan iCAUR dalam pembangunan ekosistem automotif negara.
Kumpulan pertama unit CKD dijangka mula berada di bilik pameran seluruh negara menjelang penghujung Mei ini.

Bagi pasaran Malaysia, iCAUR 03 CKD ditawarkan dalam varian Intelligent Wheel Drive (iWD) yang mengekalkan spesifikasi sama seperti model CBU sebelum ini.
SUV elektrik itu menggunakan konfigurasi dwi-motor yang menghasilkan kuasa 279PS dengan tork maksimum 385Nm. Ia dipadankan bersama bateri berkapasiti 69.8kWh yang mampu menawarkan jarak perjalanan sehingga 418 kilometer mengikut penarafan NEDC.
Model berkenaan turut menyokong pengecasan pantas DC 80kW serta pengecasan AC 6.6kW. Selain itu, fungsi Vehicle-to-Load (V2L) 3.2kW membolehkan tenaga daripada bateri kenderaan digunakan untuk menghidupkan peralatan elektrik dan peranti elektronik tertentu.
Dari sudut rekaan, iCAUR 03 tampil dengan identiti Boxy Retro Classic menerusi falsafah rekaan i-BOX yang mengetengahkan bentuk berkotak, garis badan bersegi, lampu LED moden serta imej SUV yang tegap dan lasak.

Bahagian kabin pula menampilkan kokpit digital bersama pelbagai teknologi bantuan pemandu moden, ciri keselamatan terkini serta sistem perlindungan bateri yang direka untuk kegunaan bandar mahupun aktiviti hujung minggu.
iCAUR 03 pemasangan tempatan ditawarkan pada harga bermula RM129,880 bagi varian iWD, tidak termasuk insurans untuk Semenanjung Malaysia.
Sebagai nilai tambahan, pembeli turut menerima pengecas rumah AC 7kW serta servis berjadual percuma selama dua tahun atau sehingga 45,000 kilometer, mengikut mana yang tiba terlebih dahulu.






