Buletin

INDONESIA BAKAL TERIMA NISSAN TERRA TAHUN INI?

Indonesia dilapor bakal menerima model Nissan Terra pada tahun ini. Memetik laporan Autonetmagz.com, pihak Nissan Motor Indonesia (NMI) kini sedang rancak membuat persiapan untuk melancarkan SUV tersebut.

Lebih menarik lagi, pengguna di Indonesia juga akan ditawarkan dengan MPV Nissan Serena baharu yang telah menerima banyak penambahbaikan.

Nissan di Indonesia dilihat sedikit perlahan dalam memperkenalkan model-model baharu. Atas sebab itu, ia terpaksa bergantung kepada jualan model agak lama seperti Grand Livina, March dan Juke yang semakin berusia.

Terra dibina di atas kerangka sama dengan trak pikap Navara. Di sana, ia akan bersaing dengan model-model seperti Toyota Fortuner dan Mitsubishi Pajero Sport yang sudah agak lama mendominasi pasaran.

Untuk pasaran Asia Tenggara, Nissan memasang Terra di kilangnya di Samutprakan, Thailand. Kilang itu juga bertanggungjawab memasang trak pikap Navara NP300 yang dieksport ke Indonesia.

Menggunakan kerangka jenis ladder frame, SUV ini dilihat cukup lasak untuk kegunaan di atas jalan biasa mahupun off-road. Nissan dijadual memperkenalkan Terra pada acara Beijing Motor Show 2018 

Untuk pengguna di China, Terra menggunakan khidmat enjin petrol bersesaran 2.4 liter dengan kuasa 184hp yang dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan atau automatik tujuh kelajuan.

Bagi pasaran Asia pula, Nissan menggunakan beberapa pilihan enjin turbo diesel 2.3 liter dan 2.5 liter yang sama seperti pada Nissan Navara. 

Terra dijangka diperkenalkan di Thailand menjelang separuh kedua tahun ini dan pelancaran di Indonesia dikatakan akan menyusul tidak lama kemudian.

Adakah Edaran Tan Chong Motor (ETCM) akan turut serta memperkenalkan SUV ini di Malaysia? Sama-sama kita tunggu. 

Google ads
Back to top button