Buletin

NISSAN SKYLINE BAKAL MENGAMUK BULAN DISEMBER 2026

Nissan bakal memperkenalkan Skyline generasi ke-14 pada Disember 2026, sekaligus menghidupkan semula nama ikonik yang telah menjadi antara model penting dalam sejarah pengeluar Jepun itu. Tarikh pelancaran tersebut disahkan sendiri oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Ivan Espinosa, dalam satu temu bual bersama media Jepun, Asahi Shimbun.

Skyline geenera baharu ini diumumkan Nissan pada April 2026 dan dijangka menjadi antara model penting dalam usaha pemulihan jenama tersebut. Beberapa imej bocor yang telah didedahkan sebelum ini menunjukkan reka bentuk yang mengambil inspirasi daripada Skyline klasik, termasuklah elemen yang mengingatkan kepada Hakosuka, rekaan bahagian hadapan yang agresif, fender lebih berotot serta grafik lampu belakang berbentuk bulat yang mempunyai kaitan visual dengan model GT-R.

Skyline baharu ini dikatakan menjadi model Nissan pertama yang melalui proses pembangunan yang dipercepatkan. Menurut Espinosa, keseluruhan proses pembangunan hanya mengambil kira-kira 26 bulan, berbanding sekitar 55 bulan yang diperlukan untuk membangunkan generasi sebelumnya.

Pengurangan tempoh pembangunan dibuat melalui penggunaan kecerdasan buatan (AI), simulasi digital dan pelbagai peralatan digital baharu yang digunakan sepanjang proses reka bentuk, kejuruteraan, ujian serta pengeluaran.

Nissan sebelum ini turut menjelaskan bahawa pendekatan tersebut dipengaruhi oleh kemajuan industri automotif China, khususnya dari segi teknologi, kos pembangunan dan tempoh menghasilkan model baharu.

Dari segi reka bentuk, Nissan memberi gambaran bahawa Skyline baharu tidak akan sekadar menjadi model retro. Sebaliknya, ia menggabungkan elemen reka bentuk daripada Skyline terdahulu dengan bahasa reka bentuk moden Nissan.

Pendekatan ini dijangka memberikan penampilan yang lebih agresif sambil mengekalkan perkadaran dan identiti yang dikaitkan dengan Skyline. Nissan juga mengesahkan bahawa Skyline generasi baharu akan dikeluarkan di kilang Tochigi, Jepun.

Kilang berkenaan sedang dibangunkan sebagai hab pengeluaran kereta sport Nissan dan turut menjadi lokasi pengeluaran model Fairlady Z. Pengesahan ini sekali gus menafikan laporan terdahulu yang mendakwa pengeluaran Skyline baharu mungkin dipindahkan ke China atau Amerika Syarikat.

Untuk pasaran Jepun, model ini dijangka kekal sebagai sebuah sedan dengan pacuan roda belakang. Nissan bagaimanapun masih belum mendedahkan spesifikasi teknikal rasmi termasuk pilihan enjin dan sistem transmisi.

Antara kemungkinan yang sedang diperkatakan ialah penggunaan sistem hibrid, manakala satu lagi kemungkinan ialah enjin V6 3.0 liter twin-turbo yang digunakan pada Nissan Z. Enjin VR30DDTT tersebut pada versi tertentu mampu menghasilkan lebih 400 PS.

Terdapat juga laporan mengenai kemungkinan Skyline baharu ditawarkan dengan transmisi manual, selain pilihan automatik dan sistem pacuan semua roda, namun perkara tersebut masih belum disahkan Nissan.

Skyline generasi baharu turut dijangka mempunyai kaitan rapat dengan Infiniti. Seperti beberapa generasi terdahulu, model berkenaan berpotensi menjadi asas kepada model Infiniti untuk pasaran Amerika Utara, sekali gus meneruskan hubungan antara Skyline di Jepun dan model Infiniti Q50 di Amerika Utara.

Dengan pelancaran rasmi dijadualkan pada Disember 2026, Skyline generasi ke-14 bakal menjadi salah satu model yang penting dalam strategi Nissan untuk menghidupkan semula identiti prestasi dan kejuruteraan Jepunnya.

Google ads
Back to top button