
NISSAN GT-R R36 AKAN GUNA LAMPU DEPAN BULAT KLASIK
Nissan akhirnya memberikan petunjuk awal mengenai hala tuju reka bentuk generasi baharu GT-R yang dikenali dengan kod pembangunan R36. Model yang bakal menjadi pengganti R35 itu berkemungkinan menampilkan lampu utama berbentuk bulat dengan mengembalikan elemen reka bentuk ikonik yang pernah digunakan pada generasi awal Skyline GT-R.
Petunjuk tersebut hadir menerusi kenyataan Ketua Reka Bentuk Global Nissan Matthew Weaver, dalam satu temu bual bersama penerbitan automotif Jepun, Best Car. Beliau memberikan gambaran sekiranya Nissan menghasilkan R36, model tersebut akan menggunakan lampu utama bulat namun beliau tidak mendedahkan sebarang maklumat lanjut mengenai reka bentuk keseluruhan kereta berkenaan.
Penggunaan lampu bulat ini mempunyai kaitan rapat dengan sejarah GT-R dimana Skyline GT-R generasi pertama C10 atau Hakosuka yang diperkenalkan pada 1969, menggunakan konfigurasi empat lampu bulat di bahagian hadapan. Reka bentuk tersebut turut dikekalkan pada generasi KPGC110 atau Kenmeri yang diperkenalkan pada 1972.

Namun untuk rekaan moden 1990an Nissan mula membawa pendekatan reka bentuk lebih moden pada generasi R32, R33 dan R34 dengan penggunaan lampu utama yang lebih bersudut dan tajam. R35 pula tampil dengan identiti tersendiri menerusi lampu utama yang memanjang dan berbentuk lebih agresif.
Jika petunjuk Matthew Weaver menjadi kenyataan, R36 berpotensi menggabungkan elemen warisan GT-R klasik dengan pendekatan reka bentuk moden. Weaver bukan individu asing dalam pembangunan model ini kerana beliau pernah terlibat dalam proses mereka bentuk R35, termasuk elemen tiang C yang menjadi antara ciri pengenalan model tersebut.
Beliau mula memegang jawatan Ketua Reka Bentuk Global Nissan pada 1 Oktober 2026, menggantikan Alfonso Albaisa. Pelantikan ini dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan identiti reka bentuk produk Nissan untuk generasi akan datang.
Dari segi pembangunan Ketua Pegawai Eksekutif Nissan Mr. Ivan Espinosa, sebelum ini mengesahkan bahawa projek pembangunan GT-R generasi baru sudah dimulakan. GT-R masih dianggap sebagai model penting kepada identiti Nissan dan pengeluar itu mahu memastikan generasi baharu mampu mengekalkan reputasi prestasi yang dibina sejak sekian lama.

Buat masa ini Nissan masih belum mendedahkan tarikh pelancaran rasmi R36 mahupun spesifikasi teknikalnya. R35 yang diperkenalkan pada 2007 pula telah menamatkan pengeluaran pada Ogos 2025 selepas hampir 18 tahun berada di pasaran.
Dari sudut rangkaian kuasa, R36 dijangka menggunakan teknologi elektrifikasi hibrid yang digabungkan dengan enjin pembakaran dalaman dan bukannya beralih sepenuhnya kepada kuasa elektrik. Pendekatan ini dilihat sebagai usaha Nissan untuk mengekalkan karakter pemanduan GT-R sambil memenuhi keperluan peraturan emisi yang semakin ketat.
Teka teki seterusnya ialah belum ada pengesahan sama ada enjin V6 3.8-liter twin-turbo yang digunakan pada R35 akan dikekalkan atau digantikan dengan unit baharu dan pada masa sama Nissan juga belum mendedahkan konfigurasi sistem hibrid yang bakal digunakan.









