Buletin

INEOS FUSILIER, 4X4 BEV DAN RANGE EXTENDER!

Di sebalik kerancakan kereta dengan falsafah reka bentuk moden, masih ada ruang untuk kenderaan bernuansa klasik dan retro.

Sebagai contoh INEOS Automotive dengan model terbaru atau ketiga dari syarikat iaitu 4×4 INEOS Fusilier. 

Walaupun berbentuk klasik, Fusilier dibekalkan dua pilihan rangkaian kuasa iaitu bateri elektrik atau penambah jarak (range extender).

INEOS tidak mendedahkan butiran lanjut kecuali pakej penambah jarak yang terdiri daripada enjin petrol kecil yang menguasakan penjana (generator).

Enjin itu tidak menggerakkan roda tetapi mengekalkan tahap kuasa bateri apabila pengecas luaran tidak boleh didapati. Ringkasnya, enjin membekal kuasa kepada perkakasan elektrik.

Rangkaian kuasa penambah jarak sudah digunakan pada kenderaan Nissan melalui teknologi e-POWER dan Mazda melalui MX-30 R-EV.

Fusilier adalah hasil daripada model sifar emisi yang dimaklumkan INEOS pada 2022.

Fusilier dibangunkan bersama pembekal automotif terkenal, Magna yang akan turut mengeluarkannya di Graz, Austria.

Magna terlibat dalam sejumlah projek kenderaan enjin pembakaran dalaman, hibrid dan elektrik untuk sejumlah pengeluar.

Tidak seperti model sebelum ini, Fusilier sedikit pendek dan rendah dan dibangunkan dari platform papan selaju (skateboard) dengan bahagian atas dan bawah dari keluli. Panel badan dan pintu dari aluminium.

INEOS sebelum ini telah bekerjasama dengan Magna di dalam pembangunan Grenadier dan Quartermaster.

Sebahagian daripada program pembangunan Fusilier melibatkan program ujian di pergunungan Schöckl dan berhampiran pusat pemasangan Magna di Graz.

Google ads
Back to top button