
INEOS GRENADIER 2022 MULA DIJUAL, DARI RM268K DI UK
‘Kembar’ kepada Land Rover Defender, iaitu Ineos Grenadier akan mula dijual di Britain bermula 18 Mei ini.
Untuk makluman, Ineos Grenadier merupakan sebuah SUV off-road yang dikuasakan oleh nadi enam silinder sebaris yang diperoleh daripada BMW.
Terdapat dua versi ditawarkan iaitu versi petrol dengan 281 hp dan 450 Nm, serta versi diesel dengan kuasa 246 hp dan 550 Nm, dipadankan dengan sistem pacuan empat roda kekal dan transmisi automatik ZF lapan nisbah kelajuan.

Rekaan luaran Ineos Grenadier bukan sahaja mengingatkan kita pada model Defender, malah ia juga turut mengambil elemen daripada G-Wagen.
Tidak mengejutkan apabila rakan kejuruteraan Ineos, Magna Steyr juga mengendalikan produksi G-wagen sejak dari tahun 2018 lagi.
Ruang kabin Grenadier ini menempatkan skrin infotainmen yang juga turut disumberkan daripada BMW yang turut menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, diikuti dengan tombol penukaran gear juga daripada pengeluar yang sama.

Selain itu, kesemua model turut dilengkapi dengan panel suis di bahagian siling, di mana ia bukan sahaja menempatkan suis kawalan lampu atau cangkuk, Grenadier juga turut menawarkan power converter AC 2,000 watt bagi membolehkan pemilik menggunakannya untuk peralatan dan aksesori yang berbeza ketika berada di luar.
Ineos bakal menawarkan harga jualan bermula dari £49,000 (RM268,220) untuk versi Utility Wagon dengan dua tempat duduk, diikuti dengan model Station Wagon versi lima tempat duduk berharga £52,000 (RM284,641).

Ineos juga akan menawarkan dua model Grenadier yang telah dipra-konfigurasikan, iaitu Trialmaster dan Fieldmaster, kedua-duanya berharga £59,000 (RM322,958).
Menurut Ineos, varian Trialmaster merupakan versi yang dihasilkan untuk pemanduan off-road yang ekstrem, sementara Fieldmaster pula direka untuk golongan yang mahukan gaya hidup yang mencabar.
Terdapat dua pakej yang ditawarkan iaitu Smooth Pack dan Rough Pack.
Smooth Pack menampilkan aksesori seperti kamera pandang belakang, lampu lopak, cermin sisi dengan pemanas, outlet kuasa USB, rim aloi 17 inci, tingkap Safari dan tempat duduk dengan ciri pemanas terbina.
Sementara Rough Pack pula menambah komponen differential pada bahagian depan dan belakang, tayar BFGoodrich All-Terrain T/A KO2, liang kemasukan udara yang ditinggikan, tali sawat utiliti dan bateri bantuan.
Kedua-dua pakej ini memerlukan penambahan kos sebanyak £1,685 (RM9,223) namun ianya didatangkan standard pada model Trialmaster dan Fieldmaster (hanya Smooth Pack sahaja).
























