INI MAKSUD WARNA BENDERA DALAM F1 BILA IA DIKIBARKAN
Semua orang kenal dengan benderan hitam putih atau lebih dikenali dengan “chequered flag” apabila ia dikibarkan. Ia akan dikibarkan pada penghujung perlumbaan bagi menandakan siapakah pemandu yang berjaya menamatkan perlumbaan dalam masa terpantas. Ia juga dikibarkan bagi menandakan sesi latihan telahpun tamat.
Tapi bagaimana pula dengan bendera lain yang datang dengan pelbagai warna dan bentuk. Jadi kali ini kami akan terangkan dengan lebih lanjut maksud bendera dengan warna yang dikibarkan ketika perlumbaan GP F1. Antaranya ialah:
1. Bendera kuning – jika hanya satu sahaja bendera dikibarkan, ini bermakna pelumba mesti memperlahankan jentera mereka. Sekiranya 2 bendera dikibarkan serentak, mereka mesti bersedia untuk menghentikan jentera serta merta. Jika bendera kuning tidak dikibar tapi diangkat sahaja, ini bermakna terdapat elemen bahaya di atas litar dan mereka wajib memperlahankan jentera
Jika gagal mematuhi halaju yang sesuai, mereka akan dikenakan penalti. Malah pelumba juga dilarang sama sekali memotong pihak lawan melainkan jentera tersebut perlahan disebabkan keroaskan teknikal. Jika Safety Car keluar, maka papan isyarat SC akan dinaikkan bersama-sama bendera kuning
2. Bendera merah – pelumba wajib menghentikan perlumbaan serta merta disebabkan litar menjadi bahaya dengan kehadiran unsur alam yang tidak boleh dikawal seperti cuaca, kehadiran binatang liar, atau kerosakan litar.
3. Bendera Hijau – dikibarkan pada permulaan perlumbaan atau selepas Steward mendapati perlumbaan selamat disambung semula selepas bendera kuning dikibarkan. Ia juga menandakan Safety Car telah kembali masuk ke dalam pit dan pelumba boleh beraksi seperti biasa
4. Bendera Biru – dikibarkan bagi memberi isyarat kepada pelumba agar membenarkan kereta yang telah jauh mendahului mereka (mungkin lebih satu pusingan) untuk memintas mereka. Pelumba wajib memberi laluan sebelum 3 bendera biru dikibarkan kepada mereka ataupun berdepan dengan penalti
5. Bendera putih – menandakan terdapat kenderaan perlahan berada di depan mereka samaada Safety Car, ambulans ataupun jentera lain yang lebih perlahan. Ia juga digunakan ketika sesi latihan bagi mengingatkan pemandu agar perlahan ketika menghampiri pit
6. Bendera hitam – akan dikibarkan bersama-sama dengan nombor jentera bagi memaklumkan mereka telah digantung dari perlumbaan disebabkan masalah teknikal ataupun teknik pemanduan yang membahayakan pelumba lain. Pelumba yang dikibarkan bendera hitam wajib kembali ke pit stop
7. Bendera Hitam Putih – dikibarkan pada pelumba yang gagal menunjukkan semangat kesukanan dengan menggunakan taktik yang salah dan membahayakan pelumba lain. Jika gagal mematuhi bendera ini dengan teknik agresif, pelumba akan dikenakan penalti atau paling teruk dikibarkan bendera hitam serta digantung dari perlumbaan
8. Bendera hitam dengan bulatan oren – ditujukan kepada kereta yang mengalami kerosakan mekanikal agar kembali ke pit, sekiranya gagal mereka akan dikenakan bendera hitam. Ini bagi mengelakkan kemalangan berlaku
9. Bendera merah dan jalur kuning – dikibarkan untuk memberitahu pelumba bahawa litar menjadi licin akibat hujan, tumpahan minyak, serpihan kemalangan atau ada binatang liar yang masuk ke dalam litar.
Kalau kita campur semua jenis bendera yang digunakan untuk perlumbaan, akan ada lebih kurang 10 jenis bendera yang digunakan bagi mengawal “pace” dan trafik perlumbaan agar sentiasa selamat.