Buletin

JSJ BUKIT AMAN: SINDIKET CURI KENDERAAN SASAR MODEL TOYOTA ALPHARD, VELLFIRE

Kereta jenis Toyota Hilux, Toyota Fortuner, Toyota Alphard dan Toyota Vellfire serta beberapa jenis kenderaan pacuan empat roda tertentu menjadi sasaran sindiket pencurian kenderaan berikutan permintaan tinggi terhadap model berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, sindiket lazimnya memilih kenderaan berdasarkan nilai pasaran, permintaan serta potensi untuk dijual semula atau dileraikan bagi mendapatkan alat ganti.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan statistik semasa, motosikal menjadi kategori kenderaan paling kerap menjadi sasaran, diikuti kereta.

Bagi tempoh kajian dari 2024 hingga Julai 2026, sebanyak 24,873 motosikal dilaporkan hilang, manakala jumlah kereta yang dilaporkan hilang ialah 7,594.

“Namun, corak kecurian juga bergantung kepada permintaan pasaran, nilai kenderaan serta permintaan terhadap alat ganti tertentu.

“Kecurian kenderaan lazimnya berlaku di kawasan kediaman, diikuti premis perniagaan seperti kedai dan pasar raya serta kawasan perindustrian,” katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Menurutnya, risiko menjadi lebih tinggi di lokasi yang kurang kawalan keselamatan, tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), kurang pencahayaan atau berada di kawasan terpencil.

Justeru, katanya, pemilik kenderaan dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika meletakkan kenderaan di lokasi terbabit.

Ditanya mengenai kewujudan rangkaian yang menghubungkan pencuri, bengkel haram, pembeli alat ganti dan sindiket penyeludupan, beliau berkata berdasarkan hasil risikan dan tangkapan Polis Diraja Malaysia (PDRM), rangkaian sedemikian memang dikenal pasti.

“Kegiatan ini bukan semata-mata membabitkan individu yang mencuri kenderaan.

“Dalam sesetengah kes, terdapat rantaian yang membabitkan pencuri, orang tengah, bengkel atau premis tertentu, pembeli alat ganti serta pihak yang terlibat dalam penyeludupan.

“Setiap pihak mempunyai peranan tersendiri daripada peringkat kecurian, peleraian dan penghantaran sehinggalah kepada penjualan kenderaan atau komponennya.

“PDRM memberi tumpuan bukan sahaja kepada pencuri, tetapi juga kepada keseluruhan rangkaian jenayah yang menyokong kegiatan itu,” katanya. – Buletin TV3

Google ads
Back to top button