
PELANCONG MALAYSIA DIDAKWA HALANG LALU LINTAS DI HAT YAI, AKUI TIDAK TAHU UNDANG-UNDANG THAILAND
Tiga pelancong warga Malaysia berdepan tindakan undang-undang selepas didapati memandu secara beriringan beberapa kali di sebatang jalan utama di tengah bandar Hat Yai, Thailand, sehingga mengundang rasa kurang senang pengguna jalan raya tempatan.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.28 tengah malam pada 15 November itu melibatkan empat kenderaan, termasuk tiga kereta bernombor pendaftaran Malaysia dan sebuah kereta tempatan Thailand.
Berdasarkan maklumat penduduk setempat, kumpulan berkenaan dipercayai memandu secara perlahan dalam satu barisan di sepanjang Jalan Phet Kasem, bermula dari hadapan Dewan Bandaraya Hat Yai sebelum membuat pusingan U berhampiran restoran Khao Tom Soe Ueng.
Sebuah kereta Thailand yang berada di hadapan kumpulan itu dipercayai merakam aksi berkenaan untuk menghasilkan kandungan video. Rakaman kejadian kemudian tersebar di media sosial dan mencetuskan kritikan orang ramai.
Susulan kejadian itu, ketiga-tiga pemandu warga Malaysia berkenaan hadir ke Balai Polis Hat Yai bagi memberikan keterangan dan berdepan dua pertuduhan, masing-masing berkaitan pemanduan yang menghalang kelancaran lalu lintas serta kelengkapan kenderaan yang tidak lengkap.
Mereka dilaporkan sudah menjelaskan semua kompaun yang dikenakan.
Menerusi bantuan jurubahasa, ketiga-tiga individu itu mendakwa tidak mengetahui tindakan berkenaan melanggar undang-undang Thailand.
Dua daripada mereka turut memaklumkan bahawa kunjungan tersebut merupakan pengalaman pertama ke negara berkenaan, manakala seorang lagi pernah beberapa kali berkunjung ke Thailand.
Mereka turut berjanji akan mendapatkan permit dan kebenaran pihak berkuasa terlebih dahulu sekiranya mahu melakukan aktiviti seumpama itu pada masa hadapan.
Ketiga-tiganya juga menyampaikan permohonan maaf kepada pengguna jalan raya yang terjejas dan memaklumkan akan pulang ke Malaysia dengan segera.
Sementara itu, Timbalan Pegawai Pemeriksa Trafik Balai Polis Hat Yai, Leftenan Polis Prut Pattanapran berkata, pihaknya sudah memanggil ketiga-tiga pemandu berkenaan untuk tindakan lanjut.
Beliau menjelaskan bahawa walaupun pelancong terbabit mungkin tidak memahami sepenuhnya peraturan jalan raya di Thailand, tindakan tersebut tetap menyalahi undang-undang.
Pihak polis turut mengingatkan mereka supaya menghormati undang-undang negara yang dikunjungi bagi mengelakkan kejadian sama berulang. – News1









