Buletin

KARRUS AUTOMOTIVE GROUP DILANTIK PENGEDAR RASMI MEGUIAR’S DI MALAYSIA, SINGAPURA DAN BRUNEI

Karrus Automotive Group (KAG) secara rasmi dilantik sebagai pengedar eksklusif produk penjagaan automotif Meguiar’s bagi pasaran Malaysia, Singapura dan Brunei, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya dalam industri automotif serantau.

Pelantikan itu dilihat sebagai langkah strategik yang memperluaskan peranan KAG daripada sekadar terlibat dalam jualan dan perkhidmatan selepas jualan kenderaan kepada pembangunan ekosistem pemilikan automotif yang lebih menyeluruh, termasuk segmen penjagaan dan perincian (detailing) kenderaan.

Meguiar’s yang diasaskan pada tahun 1901 bakal menyambut ulang tahun ke-125 pada 2026. Selama lebih satu abad, jenama itu menjadi pilihan pemilik kenderaan, penggemar automotif, pengumpul kereta klasik, pusat perincian profesional serta pengeluar kenderaan di seluruh dunia.

Jenama tersebut menawarkan rangkaian produk yang merangkumi pencuci kereta, lilin pelindung, sebatian pembetulan cat, salutan seramik, produk penjagaan dalaman serta pelbagai penyelesaian profesional untuk kerja-kerja detailing.

Menerusi kerjasama baharu itu, KAG akan bertanggungjawab menguruskan pengedaran, pemasaran dan pembangunan strategi bagi keseluruhan portfolio produk Meguiar’s di tiga negara terbabit.

Usaha itu akan memberi tumpuan kepada pengembangan rangkaian jualan, memperkukuh kerjasama dengan pusat detailing profesional, menyediakan latihan teknikal serta meningkatkan penglibatan komuniti automotif.

Pengarah Eksekutif Karrus Automotive Group, Reza Mutalib, berkata pelantikan itu merupakan satu pencapaian penting dalam usaha syarikat memperkukuhkan portfolio automotifnya di rantau ini.

Menurutnya, Meguiar’s merupakan antara jenama paling dihormati dalam industri penjagaan automotif dan kerjasama tersebut membuka peluang untuk memperluaskan lagi kehadiran jenama berkenaan.

“Kami mahu menjadikan Meguiar’s sebagai penanda aras dalam segmen penjagaan automotif premium di rantau ini menerusi pengembangan rangkaian runcit dan pengedaran, kerjasama strategik serta pelaburan dalam pembangunan industri detailing profesional,” katanya.

Selain mengedarkan produk, KAG turut merancang membina ekosistem lengkap bagi Meguiar’s yang menggabungkan produk premium, piawaian profesional, latihan teknikal, konsep peruncitan berasaskan pengalaman pelanggan serta penglibatan aktif bersama komuniti automotif.

Menjelang pelancaran rasmi Meguiar’s di peringkat serantau sempena LuftWasser 2026, beberapa inisiatif akan diperkenalkan termasuk memperluaskan rangkaian pengedar sah, menjalin kerjasama dengan pusat detailing profesional, melaksanakan program pensijilan dan latihan teknikal, menganjurkan aktiviti bersama komuniti automotif serta memperkenalkan kempen pemasaran dan pendidikan produk.

KAG juga merancang membangunkan konsep pengalaman jenama dan ruang peruncitan khas bagi Meguiar’s sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat.

Sebagai pengedar rasmi, KAG menyasarkan untuk memastikan pengguna di Malaysia, Singapura dan Brunei mendapat akses kepada rangkaian produk asli Meguiar’s, disokong dengan kepakaran teknikal, latihan profesional serta sokongan menyeluruh kepada pelanggan dan rakan niaga.

Syarikat itu turut membuka peluang kepada peruncit, pengusaha pusat detailing dan rakan perniagaan yang berminat untuk menjadi wakil atau bekerjasama dalam mengembangkan jenama Meguiar’s di ketiga-tiga negara berkenaan.

Google ads
Back to top button