Buletin

GWM HAVAL H10 DIBUKA UNTUK TEMPAHAN DI CHINA, SUV PHEV 5.3 METER DENGAN MOD ‘CRAB WALK’ – HARGA MULA RM136K

Great Wall Motor (GWM) secara rasmi membuka tempahan awal bagi Haval H10, SUV plug-in hibrid (PHEV) terbesar dalam barisan Haval yang ditawarkan dalam empat varian berasaskan sistem hibrid Hi4.

Model ini hadir dalam pilihan lima atau enam tempat duduk dengan harga promosi bermula kira-kira AS$31,700 (RM136,900), manakala harga pra-tempahan standard bermula kira-kira AS$32,500 (RM140,200).

Sebelum ini, Haval H10 pernah muncul dalam dokumen pendaftaran di China, namun GWM kini mengesahkan spesifikasi penuh, barisan varian serta harga rasmi bagi model berkenaan. Semua varian turut dilengkapi sensor LiDAR sebagai ciri standard.

Dari segi dimensi, versi lima tempat duduk mempunyai panjang 5,138mm, manakala versi enam tempat duduk lebih panjang pada 5,299mm. Kedua-duanya berkongsi jarak roda 3,000mm, lebar 2,050mm dan tinggi 1,970mm.

H10 dibangunkan menggunakan platform baharu Guiyuan, sekali gus menjadi SUV pertama berkonsepkan badan berkotak yang menggunakan asas tersebut.

Platform sama turut menyokong model Wey V9X. Berbeza dengan kebanyakan SUV lasak tradisional yang menggunakan casis ladder frame, H10 dibina dengan struktur unibody bagi memberikan pengendalian lebih selesa.

Keupayaan di laluan mencabar turut diberi perhatian. SUV ini dilengkapi suspensi hadapan double wishbone aluminium, suspensi belakang bebas lima pautan, serta penyerap hentak elektromagnetik EDC pada semua varian.

H10 menawarkan kelegaan tanah 220mm, kemampuan meredah air sehingga 600mm, tujuh mod pemanduan semua permukaan, sistem kawalan ‘crawl’ sembilan tahap serta kunci diferensial belakang elektronik.

Sudut pelepasan ialah 30 darjah bagi versi lima tempat duduk dan 25 darjah untuk versi enam tempat duduk.

Antara ciri unik ialah Crab Walk Mode, yang membolehkan SUV bergerak secara menyerong ketika melalui ruang sempit atau melakukan parkir.

Semua varian menggunakan sistem plug-in hibrid Hi4 generasi kedua yang menggabungkan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 123kW bersama bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) 42.8kWh.

Gabungan sistem itu menghasilkan kuasa keseluruhan 440kW dan tork 722Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam hanya 4.9 saat.

Bagi pemanduan elektrik sepenuhnya, H10 mampu bergerak sejauh 180 km mengikut piawaian WLTC, bersamaan 232 km berdasarkan kitaran CLTC.

Jarak perjalanan keseluruhan mencecah 1,404 km (CLTC), manakala penggunaan bahan api gabungan di bawah ujian WLTC ialah 0.87 liter bagi setiap 100 km. Apabila bateri habis, penggunaan bahan api direkodkan pada 6.6 liter/100 km.

Walaupun dokumen terdahulu menunjukkan kewujudan varian enjin 2.0 liter turbo berkuasa 175kW, GWM buat masa ini hanya menawarkan versi 1.5T Hi4. Tarikh pelancaran varian 2.0T masih belum diumumkan.

Dari aspek teknologi, H10 dipasang dengan sistem bantuan pemanduan pintar Coffee Pilot 3 yang menggunakan 27 sensor, termasuk LiDAR yang ditawarkan pada semua varian tanpa mengira spesifikasi.

Sistem itu mampu mengesan objek sehingga 250 meter di hadapan, 120 meter di sisi dan 150 meter di belakang. Ia turut menyokong fungsi Navigation on Autopilot (NOA) di lebuh raya dan kawasan bandar, termasuk mengendalikan bulatan, membuat pusingan U, membelok ke kanan atau kiri di persimpangan serta menghasilkan lorong maya apabila garisan jalan tidak jelas.

Turut tersedia ialah fungsi parkir automatik dengan memori laluan sehingga 3 km, boleh menyimpan 100 laluan parkir dan melakukan undur automatik sejauh 100 meter.

Ruang kabin menampilkan skrin infotainmen 15.6-inci, paparan kepala SR-HUD 29-inci dengan kecerahan maksimum 13,000 nits, serta skrin hiburan belakang bersaiz 17.3-inci yang menyokong gamut warna P3 dan penambahbaikan imej berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Kemudahan lain termasuk peti sejuk pintar berkapasiti 7.7 liter, meja lipat barisan kedua yang mampu menampung beban sehingga 10 kg, cermin privasi belakang dan bidai matahari untuk penumpang belakang.

Dari segi ruang simpanan, versi lima tempat duduk menawarkan kapasiti but 815 liter yang boleh diperluaskan kepada 1,885 liter apabila tempat duduk barisan kedua dilipat.

Bagi versi enam tempat duduk, ruang simpanan bermula pada 316 liter dan meningkat kepada 1,056 liter selepas barisan ketiga dilipat.

Pelancaran Haval H10 dilihat sebagai usaha GWM memperkukuh kedudukan jenama Haval dalam segmen SUV PHEV bersaiz besar di China, ketika persaingan pasaran semakin sengit.

Pada Jun 2026, Haval mencatatkan jualan domestik sebanyak 20,018 unit, susut 41.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Google ads
Back to top button