
TOYOTA, BMW, BOSCH DAN REPSOL UJI PETROL 100% DARIPADA SUMBER BOLEH DIPERBAHARUI
Toyota Motor Europe (TME), BMW Group, Bosch dan Repsol melancarkan projek perintis selama enam bulan di Sepanyol bagi membuktikan bahawa kenderaan sedia ada boleh beroperasi menggunakan petrol boleh diperbaharui 100 peratus (100% renewable gasoline).
Projek yang bermula pada Julai 2026 itu melibatkan kira-kira 20 buah kenderaan Toyota, Lexus dan BMW yang menggunakan Repsol Nexa 95, iaitu petrol boleh diperbaharui 100 peratus, dengan setiap pengisian bahan api dipantau menerusi sistem digital Bosch.
Inisiatif ini bertujuan menyediakan bukti penggunaan dunia sebenar bahawa bahan api boleh diperbaharui boleh digunakan pada skala besar menggunakan kenderaan sedia ada, infrastruktur stesen minyak semasa dan teknologi pensijilan digital, sekali gus menyokong usaha mengurangkan pelepasan karbon sektor pengangkutan.
Apa itu petrol boleh diperbaharui 100%?
Petrol boleh diperbaharui Repsol Nexa 95 dihasilkan daripada bahan mentah (feedstocks) yang mematuhi kriteria kemampanan Kesatuan Eropah di bawah Renewable Energy Directive (RED).
Secara umumnya, bahan mentah tersebut terdiri daripada sumber boleh diperbaharui seperti sisa organik, sisa pertanian dan perhutanan, minyak masak terpakai serta bahan organik lain, selain bahan api boleh diperbaharui yang dihasilkan daripada sumber tenaga boleh diperbaharui.
Bahan api ini merangkumi biofuel yang dihasilkan secara mampan serta bahan api boleh diperbaharui dan rendah karbon yang memenuhi kriteria kemampanan Eropah.
Berbanding petrol berasaskan fosil, ia mampu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dengan ketara berdasarkan penilaian sepanjang keseluruhan kitar hayat penggunaan (well-to-wheel), selain kekal serasi dengan enjin petrol dan infrastruktur stesen minyak sedia ada.
Tiga fokus utama projek
Sepanjang tempoh enam bulan, projek ini memberi tumpuan kepada tiga aspek utama:
- Ketersediaan petrol boleh diperbaharui di pasaran melalui rangkaian Repsol di Sepanyol, yang kini merupakan satu-satunya syarikat menawarkan petrol boleh diperbaharui 100 peratus di stesen minyak awam negara itu.
- Kesediaan teknologi pengesanan dan pensijilan digital menerusi sistem Bosch Digital Fuel Twin untuk mengesahkan penggunaan bahan api boleh diperbaharui sepanjang keseluruhan kitar hayatnya.
- Penggunaan armada VEEF (Vehicles Exclusively running on Eligible Fuels) bagi menunjukkan kenderaan sedia ada boleh beroperasi menggunakan bahan api boleh diperbaharui 100 peratus dengan infrastruktur semasa.
Bosch jejaki penggunaan petrol boleh diperbaharui
Bosch menggunakan sistem Digital Fuel Twin untuk mengumpulkan dan mengesahkan data pengisian bahan api daripada pelbagai sumber termasuk:
- Data kenderaan.
- Stesen minyak.
- Transaksi kad bahan api.
Sistem ini membolehkan penggunaan petrol boleh diperbaharui dijejaki secara telus daripada peringkat bahan api memasuki pasaran sehingga digunakan oleh pengguna akhir.
Menurut Bosch, pemantauan penggunaan bahan api secara masa nyata pada setiap kenderaan membina asas kepercayaan serta membantu pematuhan terhadap peraturan berkaitan bahan api boleh diperbaharui.
Tidak memerlukan pengubahsuaian kenderaan
Berbeza dengan penyelesaian yang memerlukan teknologi kenderaan baharu atau pelaburan infrastruktur tambahan, projek ini menggunakan kenderaan sedia ada daripada Toyota, Lexus dan BMW.
Toyota Sepanyol menyediakan kenderaan penumpang Toyota dan Lexus, manakala BMW menyumbang kenderaan armada miliknya untuk ujian tersebut.
Ini menunjukkan petrol boleh diperbaharui boleh digunakan sebagai penyelesaian drop-in fuel, iaitu menggantikan petrol biasa tanpa memerlukan pengubahsuaian pada enjin atau sistem pengisian bahan api.
Sokong pendekatan neutral teknologi
Toyota, BMW, Bosch dan Repsol melihat bahan api boleh diperbaharui sebagai salah satu penyelesaian pelengkap dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon sektor automotif.
Walaupun Kesatuan Eropah kini memberi tumpuan besar kepada elektrifikasi, projek ini bertujuan menunjukkan bahawa bahan api boleh diperbaharui masih mempunyai peranan dalam mencapai sasaran penyahkarbonan, terutama untuk kenderaan sedia ada serta teknologi hibrid dan hibrid plug-in (PHEV).
Menurut Pascal Ruch, Naib Presiden Corporate & Governmental Affairs Toyota Motor Europe, bahan api boleh diperbaharui boleh membantu merapatkan jurang ke arah neutral karbon sekiranya sasaran penggunaan kenderaan sifar pelepasan sepenuhnya menjelang 2035 tidak dapat dicapai.
Data dan hasil kajian daripada projek perintis ini akan dikongsi dengan penggubal dasar Kesatuan Eropah, pihak industri serta media bagi menyokong perbincangan mengenai pendekatan neutral teknologi (technology neutrality) dalam peralihan mobiliti masa depan.
Apa itu VEEF?
Projek ini turut menguji konsep Vehicles Exclusively running on Eligible Fuels (VEEF).
Ia merujuk kepada kenderaan yang beroperasi secara eksklusif menggunakan bahan api boleh diperbaharui dan rendah karbon yang memenuhi kriteria kemampanan Kesatuan Eropah di bawah Renewable Energy Directive (RED).
Bahan api tersebut perlu memberikan pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang ketara berbanding bahan api fosil berdasarkan penilaian keseluruhan kitar hayat (well-to-wheel).
Kategori ini termasuk biofuel yang dihasilkan secara mampan serta bahan api boleh diperbaharui yang diperoleh daripada buangan, sisa atau sumber tenaga boleh diperbaharui, selaras dengan pendirian ACEA dan FuelsEurope bagi menyokong pembangunan kenderaan VEEF.







