Artikel Pilihan

MAZDA FAIL PATEN PINTU RAMA-RAMA. MAU TERBANG KE?

Mazda sekali lagi mencuri perhatian peminat automotif dunia apabila dua paten terbaharu yang difailkan syarikat itu mendedahkan bayangan sebuah kereta sports pacuan roda belakang (RWD) dengan rekaan yang cukup menarik.

Antara ciri paling menonjol ialah penggunaan butterfly doors iaitu pintu yang terbuka ke atas yang memberi gambaran bahawa Mazda sedang meneroka teknologi yang lazimnya dikaitkan dengan kereta sports berprestasi tinggi.

Tetapi apa yang lebih menarik ialah fokus sebenar kedua-dua paten tersebut bukanlah semata-mata pada rekabentuk pintu. Mazda juga memberi penekanan terhadap pembangunan struktur casis yang mampu mengekalkan tahap kekukuhan badan walaupun menggunakan konfigurasi pintu butterfly.

Reka bentuk itu turut merangkumi pelbagai komponen pengukuh bagi memastikan casis kekal rigid tanpa meningkatkan berat keseluruhan kenderaan secara berlebihan.

Dokumen paten itu turut menunjukkan penggunaan beberapa komponen struktur baharu termasuk reinforcement assemblies untuk mengagihkan beban daripada sistem suspensi serta front apron frame yang direka bagi meningkatkan ketegaran bahagian hadapan.

Pendekatan ini bertujuan memastikan prestasi pengendalian dan keselamatan tidak terjejas walaupun kereta menggunakan pintu yang lebih kompleks berbanding pintu konvensional. Selain aspek ketegaran casis, satu lagi paten memberi tumpuan kepada keselamatan ketika pelanggaran.

Mazda menghasilkan struktur badan yang mampu mengalihkan tenaga hentaman melalui ruang enjin, side sill dan bahagian belakang kenderaan bagi mengurangkan impak terhadap ruang kabin. Pendekatan ini menunjukkan syarikat tersebut bukan sahaja mengejar gaya, malah turut memberi keutamaan terhadap perlindungan penumpang.

Dari segi reka bentuk keseluruhan, ilustrasi paten memperlihatkan sebuah roadster dua tempat duduk dengan bonet yang panjang serta susun atur enjin hadapan dan pacuan roda belakang. Konfigurasi ini mengingatkan kepada falsafah kereta sports klasik Mazda yang mengutamakan keseimbangan dan pengalaman pemanduan.

Walaupun ramai berharap Mazda akan menghidupkan semula enjin rotary, dokumen paten tersebut tidak menunjukkan sebarang petunjuk ke arah itu. Sebaliknya, lukisan teknikal memaparkan sebuah enjin empat silinder yang dipasang secara longitudinal, sekali gus menunjukkan bahawa model ini berkemungkinan menggunakan enjin pembakaran dalaman konvensional.

Perkara ini turut membezakan paten baharu tersebut daripada konsep Mazda Iconic SP yang diperkenalkan sebelum ini. Iconic SP menggunakan sistem rangkaian kuasa elektrik dengan enjin rotary sebagai range-extender, manakala paten kali ini jelas menunjukkan susun atur mekanikal yang berbeza.

Buat masa ini, Mazda masih belum mengesahkan sama ada paten berkenaan bakal diterjemahkan kepada sebuah model produksi. Namun, reka bentuk roadster dua tempat duduk bersama penggunaan butterfly doors telah mencetuskan pelbagai spekulasi bahawa ia mungkin menjadi asas kepada generasi baharu Mazda MX-5 atau sebuah model sports serba baharu pada masa hadapan.

Seperti kebiasaan, pemfailan paten tidak semestinya menjamin kemunculan model produksi, namun ia memberi gambaran jelas mengenai hala tuju teknologi dan pembangunan kereta sports Mazda untuk tahun-tahun akan datang.

Google ads
Back to top button