Buletin

SOROK DADAH BERNILAI RM1.8 JUTA DALAM TAYAR BASIKAL KANAK-KANAK

Rangka dan tayar basikal kanak-kanak dijadikan sebagai tempat menyembunyikan dadah sebelum bahan terlarang itu dikirim ke luar negara menggunakan khidmat sebuah syarikat kurier. 

Itu merupakan taktik penyeludupan terbaharu yang dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang susulan serbuan  kira-kira pukul 6 petang pada 22 Disember lalu terhadap syarikat kurier di Butterworth.

Pengarah JKDM negeri, Abdul Halim Ramli berkata, dalam serbuan itu pihaknya menjumpai 10 bungkusan yang beralamat di negeri ini untuk dikirimkan ke salah sebuah negara di kepulauan Oceania. 

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat sejumlah bungkusan plastik lutsinar mengandungi hablur kristal yang disyaki dadah jenis methamphetamine disorokkan di dalam tayar basikal terbabit. 

“Barang-barang rampasan itu kemudian dibawa ke pejabat Unit Narkotik, Kampung Kastam di Bagan Jermal untuk pemeriksaan lanjut sebelum kesemua 104 bungkusan plastik yang dijumpai dalam 10 buah kotak itu disahkan dadah. 

“Anggaran berat kasar untuk kesemua plastik lutsinar yang disyaki methamphetamine itu ialah seberat 18,028 gram dengan harga pasaran dianggarkan RM1,802,800,” katanya dalam sidang akhbar.

Jelas Abdul Halim, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 iaitu mengedar dadah dan jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman gantung mandatori.

“Buat masa ini, belum ada tangkapan dibuat dan kes ini juga masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya juga sedang memastikan sama ada alamat yang digunakan oleh pengirim benar-benar wujud atau sebaliknya. – UTUSAN ONLINE

 

Google ads
Back to top button