Artikel Pilihan

KENALI MANSORY – PEMBIKIN AUTOMOTIF AFTERMARKET PALING AGUNG!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas tentang perihal sebuah firma modifikasi dari Jerman yang sinonim dengan jentera-jentera mewah.

Nama yang dimaksudkan ini adalah Mansory. Firma ini ditubuhkan pada tahun 1989 oleh sesorang lelaki berdarah kacukan Iran-British yang bernama Kourash Mansory dan berpangkalan di Munich, Jerman.
Pada awal penubuhan firma ini, pihak Mansory hanya fokus kepada modifikasi jentera buatan British dan Italy sahaja seperti Rolls Royce, Bentley, Aston Martin dan Ferrari.

Setelah operasinya berkembang, pada pertengahan tahun 2001 firma ini memindahkan pusat operasinya ke Fichtelgebirge, Jerman.

Siapa sangka yang seni modifikasi kit badan Mansory akan mendapat permintaan yang tinggi. Disebabkan permintaan yang tinggi ini jugalah yang mendorong Mansory untuk membeli sebuah firma penalaan serta modifikasi yang sinomin dengan Porsche iaitu Rinnspeed AG pada tahun 2007.

Dengan pengambilalihan Rinnspeed AG, Mansory melebarkan sayapnya dengan tidak hanya fokus kepada pembuatan kit badan, namun mereka juga menghasilkan rim serta penalaan enjin.

Mansory juga mengambil lebih banyak jentera daripada pelbagai jenama seperti Audi, BMW, Bentley, Bugatti, Lamborghini, Porsche dan Lotus untuk dimuatkan ke dalam portfolio mereka.

Hal ini sekaligus menjadikan mereka sebagai raja di dalam dunia modifikasi ekstrim. Barisan jentera yang dimodifikasi mereka juga dipertontonkan di acara bertaraf dunia seperti Geneva International Motorshow lalu mengangkat taraf mereka lebih tinggi daripada firma-firma modifikasi yang lain.

Kalau dalam bidang fesyen, mereka bukanlah seperti Levi’s mahupun Coach, tetapi mereka adalah Hermes atau Louis Vuitton. Jika di dalam bidang jam, mereka bukanlah Casio mahupun Seiko, tetapi mereka adalah Patek Philippe atau Richard Mille.

Mahal ?

Jangan risau, kerana niche mereka memang untuk golongan ultra-mewah dan mahukan kelainan. Perniagaan yang mereka main bukanlah untuk golongan kebanyakan tetapi lebih kepada golongan bangsawan.

Jika anda berkira-kira seperti “dengan harga macam tu aku boleh beli kereta ini, kereta itu”, maaf, jentera keluaran Mansory bukanlah untuk anda.

Sekarang kita pergi kepada asas Mansory. Apa yang Mansory lakukan sebenarnya ?

Mansory fokus kepada pembuatan kit badan, pembetulan aerodinamik, kemasan dalaman, rim serta penalaan enjin. Sinonim dengan “mainan” mewah mereka, material yang digunakan adalah yang bergred tinggi seperti “Carbon Fibre”, dan kulit asli.

Bagi pembuatan rim pula, mereka menggunakan teknik “Forged” untuk memastikan kekuatan rim disamping menjadikannya ringan. Bukan apa, rim yang dihasilkan mereka kebiasaannya bersaiz 21 inci sehingga 25 inci. Besar bukan ?

Adakah Mansory menjual kit mereka secara berasingan ?

Ada Tuan-Tuan, jika anda mempunyai jentera berjenama Aston Martin, Audi, Bentley, BMW, Bugatti, Ferrari, Lamborghini, Land Rover, Lotus, Maserati, McLaren, Mercedes-Benz, Porsche, Rolls Royce, Smart dan juga Tesla.

Anda boleh membeli kit badan serta rim daripada Mansory melalui pengedar sah mereka. Malangnya mereka tidak mempunyai pengedar sah di Malaysia.

Paling dekat pun di India dan China.

Tapi kalau dah kaya, pergi saja HQ mereka di Jerman dan buat tempahan istimewa. Anda akan dilayan seperti raja.

Mansory mula mendapat perhatian dunia apabila mereka mempersembahkan karya mereka di Frankfurt Motor Show 2011 dengan membawa jentera The Mansory Siracusa. The Mansory Siracusa merupakan sebuah Ferrari 458 Italia yang diubahsuai dengan ekstrem pada bahagian kit badan serta rim.

Dengan penukaran komponen-komponen badan serta dalaman kepada Carbon Fibre, jentera ini mendapat pengurangan berat sehingga 70kg berbanding jentera Ferrari 458 Italia yang asal. Penalaan enjin juga dilakukan untuk menaiktaraf kuasanya kepada 590hp dan 560Nm daya kilas berbanding jentera asal yang menghamburkan kuasa sebanyak 562hp dan 540Nm daya kilas.

Kira banyak juga tu naik untuk kategori enjin NA. Umum mengetahui nak naiktaraf enjin NA bukan mudah dan melibatkan kos yang tinggi. Tak percaya tanya abang-abang VTEC.

Pada acara yang sama juga, pihak Mansory mempertontonkan Garia Mansory Edition.

Apa bendanya ni ?

Garia Mansory Edition merupakan sebuah kereta Golf (Caddy) yang diubahsuai untuk memenuhi citarasa orang-orang kaya di seantero dunia. Orang kaya main Golf tu normal. Orang kaya yang main Golf sambil bawa Caddy yang sarat dengan Carbon Fibre tu tak normal. Harganya tak mahal mana pun. Lebih kurang RM320,000 sebelum cukai. Boleh bawa dalam padang Golf je. Amacam ?

Walaupun sudah menempa nama dbdalam dunia modifikasi jentera, pihak Mansory tidak dapat lari dari kritikan. Jentera keluaran mereka seperti Bugatti Veyron, Bugatti Chiron, Rolls Royce Cullinan dan Lamborghini Urus dkritik hebat apabila modifikasi yang dilakukan terlalu ekstrem sehinggakan menutupi “line” asal jentera-jentera tersebut.

Mansory peduli hape ! Ekstrem adalah identiti mereka. Kereta Golf pun mereka boleh jual, apalagi model-model yang lain. Mereka ada peminat tersendiri.

Jadi Tuan-Tuan, inilah sedikit sebanyak cerita tentang Mansory. Dibawah saya sertakan senarai 15 jentera Mansory yang terhebat :-

– Rolls Royce Wraith Palm Edition 999
– Lamborghini Aventador SV: J.S.1 Edition
– Bugatti Veyron Mansory Vivere Esition
– Mansory GT Race Bentley Continental
– Mansory Ferrari F12 La Revoluzione
– Bentley Continental GT Speed Vitesse Rose
– 458 Ferrari Spider Monaco Edition
– The Mercedes G63 Sahara Edition
– Mansory McLaren MP4-12C
– Mansory Cyrus
– Range Rover Autobiography LWB
– Mansory Mercedes S63 AMG
– Mansory Tesla Model S
– Mansory Maserati Gran Turismo
– Mansory Porsche Panamera

GALERI

Google ads
Back to top button