
KIA SELTOS 2026 DIDEDAHKAN: KABIN LEBIH LUAS, PILIHAN AWD, JANA 180PS
Kia telah memperkenalkan generasi kedua Kia Seltos, menandakan transformasi besar pada salah satu model penting globalnya.
SUV subkompak ini kini dilengkapi teknologi terkini dan identiti reka bentuk yang lebih menonjol, sesuai untuk pembeli mahukan kenderaan harian praktikal dengan ciri moden.
Berbeza dengan model terdahulu yang menekankan nilai dan kepraktisan, Seltos baharu menempatkan diri di kelas lebih premium dengan reka bentuk berani, kabin lebih fleksibel, dan pelbagai pilihan enjin.
Mengikuti bahasa reka bentuk “Opposites United”, Seltos terbaru menampilkan gaya lebih tegas dan bertenaga. Bentuk luarnya lebih lebar dengan permukaan lebih terstruktur, gril depan yang luas, dan lampu baharu menyerupai peta bintang.

Dimensinya kini 4,430mm panjang, 1,830mm lebar, 1,600mm tinggi, dengan jarak roda 2,690mm, membolehkan ruang dalaman lebih selesa. Bergantung pada varian, Seltos boleh hadir dalam bentuk X-Line dengan elemen rugged atau GT-Line dengan sentuhan sporty.
Di dalam, kabin Seltos baharu lebih moden dan tersusun rapi. Konsol rendah meningkatkan jarak pandang pemandu, sementara penukar gear jenis column shift-by-wire membuka ruang tambahan.
Bahan dan kemasan dipertingkatkan dengan fokus pada keselesaan dan kegunaan. Antara ciri menarik termasuk bumbung panorama, lampu suasana boleh disesuaikan, dan tempat duduk barisan kedua boleh direbahkan.
Sistem audio premium dari Harman Kardon dan Bose ditawarkan di beberapa pasaran. Untuk sambungan pintar, SUV ini menampilkan dua skrin lebar 12.3-inci untuk kluster instrumen dan infotainment, beserta akses ke Kia Connect Store.

Seltos baharu dibina atas platform K3 terkini, memberikan kerangka lebih kukuh, operasi lebih senyap, dan keselesaan pemanduan lebih baik.
Pilihan enjin berbeza mengikut pasaran, termasuk enjin turbo 1.6 liter dengan 180PS atau 193PS, masing-masing menghasilkan tork 265Nm, serta enjin 2.0 liter naturally aspirated 149PS dan 179Nm.
Transmisi pula termasuk manual enam-kelajuan dan pelbagai pilihan automatik, termasuk dual-clutch dan lapan-kelajuan.
Varian pacuan semua roda ditawarkan di sesetengah pasaran, dengan suspensi belakang multi-link dan mod pemanduan untuk salji, lumpur, dan pasir.
Varian hibrid dijangka diperkenalkan pada 2026, menambah penjimatan bahan api serta keupayaan vehicle-to-load untuk mengecas peranti luar.
Sistem brek regeneratif terbaru Kia juga menyesuaikan pemulihan tenaga berdasarkan navigasi dan trafik, menjadikan Seltos lebih efisien namun serbaguna.
Teknologi keselamatan dipertingkatkan dengan ciri bantuan pemandu terkini termasuk bantuan lebuh raya, pengesan lorong, fungsi mengelak perlanggaran, dan monitor sekeliling.
Paparan head-up menunjukkan maklumat penting pada cermin hadapan, sementara kemaskini over-the-air membolehkan sistem diperbaharui tanpa ke pusat servis. Seltos juga menyokong Digital Key 2 untuk akses dan perkongsian kenderaan melalui telefon pintar.
Ruang bagasi kekal luas dengan kapasiti 536 liter, papan bagasi dua tahap, dan aksesori modular AddGear untuk penyimpanan tambahan.
Pengeluaran Kia Seltos baharu bermula Disember 2025 di India, diikuti Korea, Amerika Utara, Eropah, dan China sepanjang 2026.


