
TRIUMPH TRACKER 400 DIPERKENAL – 41.4HP, 37.5NM
Selepas mencapai kejayaan dengan model 400cc terutamanya menerusi Scrambler 400 X dan Speed 400, Triumph Motorcycles sedar bahawa terdapat permintaan tinggi bagi segmen 400cc.
Sejak dari itu, Triumph memperkenalkan beberapa model lagi termasuk Triumph Scrambler XC dan Thruxton 400.

Terbaru, jenama motosikal dari Hinckley, United Kingdom itu memperkembangkan tawaran dengan Tracker 400 untuk pasaran global. Menurut Triumph, Tracker 400 bukan sekadar Speed 400 yang diberikan nafas baharu sebaliknya dibangunkan dengan casis dan subframe baharu.

Namun begitu, Tracker 400 ini masih mengguna pakai suspensi yang sama dengan Speed 400 termasuk fork Showa Big Piston 43mm dengan jarak gerak 140mm dan penyerap hentak bergas RSU dengan belakang dengan jarak gerak 130mm.
Tumpuan utama Tracker 400 tertumpu pada ruangan enjin yang menempatkan platform TR Series yang lebih berkuasa dari yang terdapat pada Scrambler 400 X dan Speed 400.

Triumph mendedahkan bahawa enjin satu silinder 398cc itu kini menawarkan 41.4hp pada 9,000rpm sekaligus meningkat dari 39.5 hp. Kuasa lebih tinggi itu dicapai dengan mereka semula profil camshaft dan menala semula enjin. Meskipun tork kekal pada 37.5Nm namun hadir lebih lewat pada 7,500rpm berbanding 6,500rpm pada Speed 400.
Dalam pada itu, Tracker 400 diilihamkan dari jentera flat-track klasik sekaligus menawarkan grafik perlumbaan yang lebih agresif, penghadang angin yang lebih bersegi dan penutup tempat duduk belakang.

Triumph turut memuatkan rim 17-inci dengan reka bentuk bilah yang berbeza dan dipadankan dengan tayar Pirelli MT60 RS secara standard.
Antara perincian lain ditawarkan termasuk
- pencahayaan LED
- cakera brek 300mm depan, 230mm belakang
- ride-by-wire
- klac slipper/assist
- ABS
- traction control (boleh padam)
- panel meter digital LCD + analog
- tangki 13L
GALERI: TRIUMPH TRACKER 400





















