
LANCIA SAHIH AKAN MENGHASILKAN MODEL YPSILON RALLY2 HF INTEGRALE. SANG LAGENDA BERSEDIA UNTUK KEMBALI!
Bermula di era 70an membawa ke tahun 90an, jenama Lancia ini sememangnya cukup digeruni dengan jentera rali mereka seperti Lancia Stratos , 037 dan juga Delta yang pernah memenangi beberapa kali kejuaraan dunia bagi kategori Pengeluar. Kali terakhir jenama dari Itali ini beraksi dalam kejuaraan rali dunia adalah pada tahun 1992.
Namun sejak akhir – akhir ini jenama Lancia semakin aktif dalam dunia rali. Terkini sebelum ini mereka telah menghasilkan sebuah model rali dalam kelas Rally4, Ypsilon Rally4 HF dengan menggunakan enjin yang bersesaran 1.2 liter. Barangkali peminat sukan rali mungkin hanya akan menyangka bahawa setakat itu sahaja pembabitan Lancia dalam sukan rali yang kini jenama tersebut telah pun bernaung di bawah Kumpulan Stellantis.

Namun nampak gayanya Kumpulan Stellantis cukup serius untuk membawa kembali kegemilangan jenama Lancia ini dalam sukan rali apabila mereka telah menayangkan sesi pandu uji dalam saluran You Tube model yang akhirnya telah diberikan nama Ypsilon Rally2 HF Integrale. Sesi pandu uji tersebut telah dilakukan oleh pemandu rali berasal dari Perancis yang memandu untuk jentera Citroen C3 Rally2, Yoann Bonato yang mana jentera ‘usang’ tersebut juga sebenarnya berada di bawah naungan Kumpulan Stellantis.

Memandangkan jentera Citroen C3 Rally2 juga berada dalam bawah naungan yang serupa lantas apa hal pula Kumpulan Stellantis nak bela sampai dua buah jentera kan? Untuk rekod, jentera Citroen C3 Rally2 ini dianggap sebagai model ‘tua’ dikalangan model Rally2 yang beraksi sekarang ini. Malah ianya adalah satu – satunya model rali daripada asal kejadian R5 yang masih lagi beraksi dalam pentas tertinggi dan telah menjalani beberapa kali proses peremajaan untuk memastikan ianya kekal beraksi dengan cemerlang untuk menentang jentera moden seperti Skoda Fabia RS Rally2 dan juga Toyota GR Yaris Rally2.
Secara kebetulan untuk memang sudah dirancang, Citroen sebetulnya telah pun membuat pengumuman untuk beraksi dalam Formula E untuk musim hadapan dan mustahil untuk Citroen menghasilkan jentera rali baharu untuk pengganti Citroen C3 Rally2 yang mungkin bakal ditamatkan perkhidmatannya. Dan jelas sekali jentera Ypsilon Rally2 HF Integrale ini adalah pengganti ideal buat Kumpulan Stellantis untuk memastikan wakil mereka tetap ada dalam dunia rali.

Dan walau pun jelas sekali model ini dibina untuk aksi dalam kelas Rally2, namun harus diingat bahawa bermula tahun 2027 nanti jelas sekali akan ada katergori baharu WRC27 yang membolehkan jentera Ypsilon Rally2 HF Integrale beraksi dalam kelas utama. Dengan khabar angin mengatakan Hyundai Motorsport mungkin akan menarik diri selepas ini untuk aksi 2027, yang pasti dunia rali akan tetapi meriah dengan kehadiran jentera baharu kelak.
BACA : LANCIA KEMBALI SEMULA KE DUNIA RALI DENGAN MODEL YPSILON RALLY4 HF


