Motosikal

HONDA WINNER-R LANCAR DI VIETNAM – REKA BENTUK BAHARU, CIRI SAMA

Honda Vietnam dengan rasminya melancarkan Honda Winner-R 150 generasi baharu menggantikan Winner X yang telah pun berada dalam pasaran negara itu sejak 2016.

Selepas sembilan tahun, akhirnya Winner X mendapat naik taraf yang signifikan dari segi rekaan keseluruhan.  

Pertamanya, Winner-R tampil dengan reka bentuk yang jelas diilhamkan dari CBR1000RR-R yang jelas terpampang pada reka bentuk lampu hadapan dan panel badan. Dalam pada itu, reka bentuk lampu belakang juga berlainan dan turut diinspirasikan dari keluarga CBR. 

Menurut Honda Vietnam, reka bentuk Winner-R kali ini memfokuskan pada aerodinamik agar tunggangan lebih lancar dan laju. 

Lampu hadapan pula mengguna pakai lampu LED dengan teknologi Crystal Light sekaligus meningkatkan tahap keterangan cahaya terutamanya di waktu malam. 

Selain reka bentuk dan warna, rata-rata kelengkapan pada Winner-R 2026 ini dibawa dari Winner X (RSX Winner) termasuklah meter digital LCD, fork teleskopik depan dan ABS.

Honda Winner-R ini juga masih lagi dikuasakan enjin satu silinder 150cc DOHC yang sama seperti Winner X dan berupaya menjana 15.4hp pada 9,000rpm dan 13.5Nm pada 7,000rpm. 

Menariknya, beberapa komponen yang sering terpalit dengan isu antaranya balancer turut dikekalkan pada Winner R ini. Balancer tersebut berfungsi untuk mengurangkan daya gegaran yang dihasilkan enjin dan turut bertujuan mengurangkan bunyi enjin agar tunggangan lebih lancar.

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • ABS (tayar depan sahaja)
  • slot USB Type-A
  • klac Assist & Slipper
  • keyless
  • rantai O-Ring
  • tangki 4.5L
  • berat 124kg
  • ketinggian tempat duduk 795mm

GALERI: HONDA WINNER-R 2026

Google ads
Back to top button