Buletin

LANCIA KEMBALI SEMULA KE DUNIA RALI DENGAN MODEL YPSILON RALLY4 HF

Lama dahulu, jenama Lancia dalam sukan rali juga boleh tahan popular dengan menggunakan jentera Lancia Delta S4 Group B yang pernah memenangi beberapa perlumbaan di Argentina, Sanremo dan juga sudah semestinya Monte Carlo.

Tapi itu cerita lama sementelah Lancia memutuskan untuk keluar terus dari dunia rali pada tahun 1991. Lebih 30 tahun kemudian, Lancia membuat kejutan apabila mengumumkan yang mereka akan kembali semula ke dunia rali. Lancia yang kini berada dalam naungan Stellantis sebetulnya telah memperkenalkan model terkini dari divisyen berprestasi tinggi mereka, HF yang dibina berdasarkan model Lancia Ypsilon HF, sebuah model elektrik yang dijangka dilancarkan pada tahun 2025 nanti.

Dan serentak dengan itu, firma yang berasal dari Itali ini turut memperkenalkan Lancia Ypsilon Rally4 HF, bagi menandakan kemunculan semula mereka dalam dunia rali setelah puluhan tahun mereka menarik diri. Mungkin ada yang bertanya mengapa Rally4 dan bukannya Rally2 setidaknya.

Kelas jentera Rally4 ini adalah kelas asas dalam jentera perlumbaan dunia rali yang sudah semestinya akan memberikan peluang kepada pemandu muda yang baharu sahaja memulakan kerjaya mereka dengan semangat untuk menjadi profesional masa depan.

Ianya ibarat suatu permulaan baharu dalam gaya Lancia yang sempurna, bercirikan cita-cita, pragmatisme dan kerendahan hati, selaras dengan misi dan DNA jenama Lancia ini.

Lancia Ypsilon Rally4 HF ini dikuasakan dengan enjin 1.2 liter pengecas turbo 3-silinder 4-injap setiap silinder yang mampu menghasilkan kuasa 212 HP. Ianya dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan berjujuk serta mempunyai pembezaan gelinciran terhad. Dan sudah semestinya model serba baharu ini dianggap cukup ideal buat mereka yang baharu berjinak dengan jentera rali pacuan roda dalam kelas Rally4 ini.

Penampilan luarannya berinspirasikan model lagenda mereka yang berwarna putih serta mempunyai livery seakan Martin Racing. Sudah tentu corong udara di bahagian bumbung serta tebukan pada bahagian bonet bagi mengeluarkan haba panas daripada enjin.

Yang pasti, dengan kembali semula Lancia ke dunia rali akan memeriahkan lagi jentera yang ada beraksi dalam kelas asas Rally4 ini.

BACA : PININFARINA BATTISTA CINQUANTACINQUE, INSPIRASI LANCIA FLORIDA REKAAN BATTISTA PININFARINA

BACA : DUA BUAH KERETA KLASIK LANCIA YANG RARE UNTUK DILELONG

Google ads

B K

Back to top button