
LEAPMOTOR D99 EREV DILANCARKAN DI CHINA TAK LAMA LAGI – BATERI 80.3kWh, JARAK GERAK 480KM
Leapmotor dilihat semakin serius memasuki segmen MPV apabila model terbaharunya, D99, mula tiba di pusat pameran dan pengedar di China menjelang pelancaran rasmi yang dijadualkan berlangsung pada Julai ini.
Menariknya, versi EREV (Extended Range Electric Vehicle) model tersebut hadir dengan pek bateri besar berkapasiti 80.3kWh yang membolehkannya bergerak sehingga 480 kilometer menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya mengikut piawaian CLTC.
D99 juga menjadi MPV pertama jenama itu, sekali gus menandakan langkah baharu Leapmotor dalam pasaran kenderaan keluarga bersaiz besar yang semakin kompetitif di China.
Dari segi rekaan, D99 tampil dengan bentuk badan moden yang menekankan aerodinamik. Ia menggunakan bonet hadapan pendek, tiang A yang lebih landai, pemegang pintu jenis tersembunyi serta bumbung terapung.

Bahagian hadapan pula dipadankan dengan lampu utama jenis terpisah lengkap dengan teknologi projektor yang turut menyokong sistem bantuan pemanduan.
MPV ini mempunyai dimensi 5,280mm panjang, 1,995mm lebar dan 1,880mm tinggi, dengan jarak roda sejauh 3,110mm.
Saiz tersebut menjadikannya sedikit lebih panjang berbanding Denza D9 keluaran BYD. D99 juga menggunakan rim 19-inci bersalut krom dan ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu hitam, putih, biru, perak dan kelabu.
Satu lagi elemen yang menarik perhatian ialah kehadiran sensor LiDAR di bahagian bumbung, memberi bayangan bahawa D99 bakal dilengkapi sistem bantuan pemanduan yang lebih canggih.

Masuk ke ruang kabin, Leapmotor menawarkan tiga pilihan tema warna dalaman iaitu cloud gray, brown dan rain gray.
Susun atur papan pemuka pula menampilkan skrin infotainmen terapung bersaiz 17.3-inci, panel instrumen LCD 10.25-inci serta paparan augmented reality bersaiz 50-inci.
Tuil gear diletakkan di belakang stereng empat jejari, manakala konsol tengah menyediakan pengecas telefon tanpa wayar bersama dua pemegang cawan.
Ruang penumpang baris kedua menjadi antara fokus utama D99. Ia menggunakan dua kerusi kapten lengkap dengan fungsi “zero gravity”, pemanas, pengudaraan dan urutan badan. Kerusi tersebut juga boleh dipusing sehingga 180 darjah, memberikan susun atur kabin yang lebih fleksibel.

Selain itu, penumpang turut menikmati skrin siling bersaiz 21.4-inci, peti sejuk berkapasiti 11.4 liter serta sistem audio 23 pembesar suara. Tempat duduk baris ketiga pula menyokong pelarasan elektrik dan fungsi pemanas.
Leapmotor akan menawarkan D99 dalam dua pilihan trenkuasa. Varian EREV menggunakan enjin turbo petrol 1.5 liter yang bertindak sebagai generator untuk mengecas bateri 80.3kWh. Sistem itu dipadankan dengan dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa gabungan sekitar 402 hp.
Bagi versi elektrik sepenuhnya (BEV), D99 menerima bateri 115kWh bersama dua motor elektrik berkuasa 410kW (550hp), dengan jarak perjalanan mencecah 700 kilometer.
Leapmotor ketika ini dilihat agresif memperluaskan rangkaian model domestiknya, termasuk pelancaran crossover D19 baru-baru ini yang turut menggunakan bateri 80.3kWh.
Dari segi jualan global, jenama tersebut merekodkan peningkatan ketara dengan 81,569 unit terjual sepanjang Mei 2026 menurut China EV DataTracker.



