Buletin

HYUNDAI MALAYSIA MULAKAN EKSPORT STARIA KE THAILAND

Hyundai Motor Malaysia (HMY) melakar satu lagi pencapaian penting apabila kumpulan pertama Hyundai STARIA pemasangan tempatan (CKD) rasmi dieksport ke Thailand, sekali gus membuka lembaran baharu bagi operasi eksport jenama itu dari Malaysia.

Penghantaran pertama model MPV 10 tempat duduk tersebut telah berlepas pada 3 Jun lalu dan bakal mula dipasarkan kepada pelanggan di Thailand bermula 12 Jun ini.

Langkah itu menandakan permulaan peranan Malaysia sebagai hab eksport serantau untuk Hyundai.

STARIA juga merupakan model pertama Hyundai yang dipasang secara tempatan oleh HMY menerusi kerjasama dengan Inokom, fasiliti pemasangan milik Sime Motors yang terletak di Kulim, Kedah.

Sebelum ini, varian 7 tempat duduk STARIA turut menerima pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai MPV enjin pembakaran dalaman (ICE) terbaik di Anugerah Malaysia Car of the Year (MCOTY) 2025.

Model tersebut dipuji menerusi gabungan reka bentuk futuristik, ruang kabin premium, tahap keselamatan moden serta pengalaman pemanduan yang selesa.

Menurut Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia, Jahabarnisa Haja Mohideen, eksport STARIA ke Thailand menjadi titik permulaan penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat pengeluaran dan eksport Hyundai di rantau ini.

Beliau berkata, pencapaian tersebut mencerminkan keyakinan Hyundai terhadap kemampuan industri automotif tempatan dalam menghasilkan kenderaan bertaraf global, selain membuktikan komitmen syarikat untuk terus melabur dan berkembang di Malaysia.

Tambah beliau lagi, HMY akan terus memperkukuh kehadirannya di negara ini selari dengan semangat “Sentiasa di sisi anda”, sambil merancang lebih banyak perkembangan pada masa akan datang.

Google ads
Back to top button