Artikel Pilihan

INI MAKSUD CARRERA, CARRERA S, GTS DAN GT3 UNTUK PORSCHE 911

Bagi peminat kereta, Porsche 911 merupakan salah satu model paling ikonik dalam sejarah automotif. Namun bagi orang biasa atau mereka yang baru mula mengenali dunia Porsche, keluarga 911 boleh menjadi sesuatu yang sangat mengelirukan.

Ini kerana keluarga 911 datang dengan varian Carrera, Carrera S, Carrera T, Carrera 4, GTS, Turbo, GT3, S/T dan juga Dakar. Semuanya nampak hampir sama, tetapi sebenarnya mempunyai karakter dan tujuan yang berbeza.

Selepas lebih 60 tahun berada di pasaran, Porsche berjaya mengembangkan 911 menjadi sebuah keluarga model yang sangat luas. Walaupun reka bentuk asasnya masih mengekalkan siluet klasik yang dikenali sejak tahun 1963, setiap varian mempunyai identiti tersendiri yang disasarkan kepada jenis pemandu yang berbeza.

911 Carrera

Bagi kebanyakan pembeli, perjalanan ke dunia 911 bermula dengan model Carrera yng menjadi model asas dalam keluarga Porsche 911 moden. Nama Carrera sebenarnya diambil daripada perlumbaan terkenal Carrera Panamericana yang berlangsung di Mexico pada era 1950-an.

Pada generasi terkini 992.2, Carrera menggunakan enjin 3.0 liter enam silinder boxer turbo berkembar yang menghasilkan 394 PS atau kira-kira 388 kuasa kuda, bersama tork 450 Nm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik PDK lapan kelajuan dan tiada varian manual ditawarkan untuk varian ini.

Walaupun dianggap sebagai model asas, prestasinya masih mengagumkan. Carrera mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam sekitar 3.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum hampir 300 km/j. Hakikatnya, prestasi sebegini sudah cukup untuk menandingi banyak supercar yang pernah dianggap luar biasa dua dekad lalu.

911 Carrera S

Bagi mereka yang mahukan lebih kuasa, Porsche menawarkan Carrera S. Huruf “S” telah lama digunakan oleh Porsche untuk menandakan versi yang lebih berprestasi tinggi. Pada model terkini, Carrera S menghasilkan 473 hp, peningkatan yang cukup besar berbanding Carrera biasa.

911 Carrera 4 & Carrera 4S

Angka kuasa tersebut hampir menyamai Porsche 911 Turbo generasi 997 yang pernah dianggap sebagai antara kereta terpantas di dunia pada zamannya. Porsche turut menawarkan Carrera 4 dan Carrera 4S untuk pelanggan yang mahukan sistem pacuan semua roda atau AWD.

Nombor “4” pada nama model menjadi petunjuk kepada sistem AWD tersebut. Pada generasi terdahulu, model AWD biasanya mempunyai badan yang lebih lebar berbanding model pacuan roda belakang.

Namun bagi generasi 992, Porsche menggunakan badan lebar untuk hampir semua model menyebabkan perbezaan visual antara versi AWD dan RWD menjadi semakin sukar dikenal pasti. Bagi peminat tegar yang lebih mengutamakan pengalaman memandu berbanding angka kuasa semata-mata, Carrera T sering dianggap sebagai pilihan paling menarik.

911 Carrera GTS

Di atas Carrera S pula terletaknya Carrera GTS. Nama GTS berasal daripada singkatan Gran Turismo Sport. Secara tradisional, GTS berada di tengah-tengah antara Carrera S dan Turbo. Ia menawarkan lebih kuasa, casis lebih agresif dan pelbagai peningkatan prestasi.

Apa yang menjadikan generasi terkini lebih istimewa ialah GTS kini menjadi Porsche 911 pertama dalam sejarah yang menggunakan sistem hibrid. Dengan gabungan enjin boxer dan motor elektrik, GTS baharu menghasilkan lebih 530 hp, sekali gus membuka lembaran baharu dalam evolusi 911.

911 Carrera T (Touring)

Mula diperkenalkan pada tahun 1968 dan menjadi model yang diperkenalkan secara tetap mulai tahun 2022. Secara asasnya ia adalah model yang lebih ringan, penggunaan cermin depan nipis, 2 tempat duduk sahaja dan masih menggunakan enjin asas Carrera 389hp tetapi dipadankan dengan gear manual 6 kelajuan sahaja.

911 Turbo

Ramai yang menyangka model Turbo hanyalah 911 yang menggunakan turbocharger. Hakikatnya, hampir semua Carrera moden juga sudah menggunakan turbo. Namun nama Turbo kini membawa maksud sesuatu yang lebih besar dan mendalam bagi dunia Porsche.

Ia menjadi simbol kepada varian prestasi tinggi yang menawarkan kuasa luar biasa bersama kemampuan digunakan setiap hari. Selama beberapa dekad, 911 Turbo dikenali sebagai antara kereta sport paling pantas dan paling mudah dipandu di dunia.

Varian ini mudah dikenali dengan sistem pacuan semua roda dan juga spoiler belakang yang besar gedabak di bahagian belakang. Bagi model terkini ia turut ditawarkan dengan sistem hibrid dan turbo elektrik namun menjana sehingga 701 kuasa kuda

Pecutan 0-100km/h dibuat dalam masa 2.5 saat menjadikannya 911 paling berkuasa dalam pengeluaran semasa. Varian ini boleh didapati dalam rekaan Cabriolet ataupun Coupe

911 GT3

Apabila bercakap tentang prestasi litar, nama GT3 pula sering muncul sebagai pilihan utama. GT3 merupakan model yang direka untuk mereka yang benar-benar menghargai pemanduan. Tidak seperti kebanyakan 911 lain yang menggunakan turbocharger, GT3 masih mengekalkan enjin naturally aspirated 4.0 liter yang mampu berputar sehingga lebih 9,000 rpm yang menjana 503hp

Bunyi enjin yang unik, respons pendikit yang pantas dan pengendalian yang tajam menjadikan GT3 antara kereta sport paling dihormati di dunia. Ia turut dipadankan dengan suspensi lebih keras, cesi rendah, brek lebih berkuasa dan tidak diberikan kerusi belakang serta penebat bunyi

Anda boleh memilih untuk menggunakan transmisi PDK 8 kelajuan atau manual 6 kelajuan. Sistem suspensi pula menggunakan double wishbone yang lebih kompleks

911 GT3 S/T

Bagi golongan purist, Porsche turut menghasilkan model S/T yang dianggap antara 911 paling istimewa pernah dibina. Model ini menggabungkan enjin 4.0 liter daripada GT3 RS bersama transmisi manual enam kelajuan.

Hasilnya ialah sebuah kereta yang memberi fokus sepenuhnya kepada keseronokan memandu tanpa terlalu bergantung kepada teknologi moden. Varian ini disertakan dengan panel carbon, rim magnesium yang mengurangkan berat sehingga 40kg

911 Dakar

Satu lagi varian yang mencuri perhatian ialah 911 Dakar. Jika selama ini 911 terkenal sebagai kereta jalan raya dan litar, Dakar membuktikan ia juga boleh digunakan di laluan lasak. Dibangunkan berinspirasikan kemenangan Porsche dalam Rally Dakar, model ini mempunyai suspensi yang lebih tinggi, tayar khas dan keupayaan off-road yang tidak pernah dikaitkan dengan sebuah 911 sebelum ini.

911 GT2 RS

GT2 adalah model yang menggunakan enjin dari model 911 Turbo digandingkan dengan sistem AWD namun diberikan kemasan aero dari model GT3

911 GT3 RS

RS ialah singkatan kepada RennSport, yang diterjemahkan sebagai “sukan perlumbaan”. Lencana RS pertama kali muncul pada tahun 1973 menerusi Porsche 911 generasi klasik sebagai Carrera RS. Model paling ringan ini menerima talaan semula suspensi serta brek yang lebih besar, dan hari ini ia dianggap sebagai salah satu Porsche 911 paling bernilai serta paling diburu oleh pengumpul di seluruh dunia.

Lencana RS muncul semula pada Porsche 911 generasi 996 menerusi 911 GT3 RS, iaitu versi GT3 yang lebih tertumpu kepada penggunaan di litar. Bagi model 996 GT3 RS berat kenderaan dikurangkan lagi melalui penggunaan tingkap polikarbonat serta pelbagai komponen ringan lain. Pada masa yang sama, sistem suspensi dan enjin turut dipertingkatkan, manakala brek karbon-seramik dipasang pada keempat-empat roda.

Formula yang sama diteruskan pada model GT3 RS generasi 997, 991 dan 992. Namun begitu, pendekatan tersebut sedikit berubah pada 991.2 GT3 RS, yang menggunakan enjin 4.0 liter berasaskan jentera perlumbaan 911 Cup yang sama seperti GT3 standard, cuma dengan sedikit peningkatan kuasa. Situasi yang sama turut berlaku pada 992 GT3 RS terbaru.

Apa yang benar-benar membezakan model kali ini ialah pakej aerodinamiknya yang jauh lebih ekstrem berbanding mana-mana GT3 RS sebelum ini. Komponen paling menonjol ialah spoiler belakang jenis swan-neck bersaiz gergasi. Kesemua elemen aerodinamik yang dipasang di sekeliling kereta ini bergabung untuk menghasilkan daya tekan ke bawah (downforce) tiga kali ganda lebih tinggi berbanding GT3 standard.

Selain pelbagai varian, Porsche turut menawarkan beberapa jenis badan. Coupe merupakan bentuk paling klasik dan paling hampir dengan reka bentuk asal 911 sejak tahun 1963. Cabriolet pula menawarkan pengalaman pemanduan bumbung terbuka menerusi bumbung fabrik boleh lipat.

Sementara itu, Targa menjadi pilihan paling unik dengan reka bentuk roll bar ikonik yang telah menjadi sebahagian daripada identiti Porsche sejak tahun 1965. Apa yang menjadikan Porsche 911 begitu luar biasa ialah kemampuannya berevolusi tanpa kehilangan identiti asal.

Dari model pertama yang dikenali sebagai Porsche 901 pada tahun 1963, hinggalah kepada generasi 992 hari ini, satu perkara masih kekal sama. Enjinnya masih ditempatkan di belakang gandar belakang, satu konfigurasi yang dianggap pelik oleh banyak pengeluar lain tetapi telah menjadi DNA utama 911 selama lebih enam dekad.

Mungkin itulah sebab sebenar Porsche 911 terus menjadi legenda. Walaupun teknologi berubah, kuasa meningkat dan varian semakin banyak, ia masih mengekalkan karakter unik yang menjadikannya antara kereta sport paling dikenali dan paling dihormati di dunia.

Bagi sesetengah orang, Carrera biasa sudah lebih daripada mencukupi. Bagi yang lain, GT3 atau Turbo mungkin menjadi impian. Namun tidak kira varian mana yang dipilih, setiap Porsche 911 tetap membawa warisan yang sama iaitu sebuah ikon automotif yang berjaya bertahan dan terus relevan selama lebih 60 tahun.

Google ads
Back to top button