Buletin

LEBUHRAYA KUALA LUMPUR-KARAK SESAK GARA-GARA KERJA PENYELENGGARAAN

Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah Timur, berhampiran Bentong, mengalami kesesakan teruk akibat kerja penyelenggaraan jalan raya.

“Trafik sesak berlaku sepanjang 11.7 kilometer (km) bermula dari KM20.1 arah timur sehingga ke lokasi kerja-kerja penyelenggaraan,” memetik ciapan akaun Twitter Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Tambahnya, lorong tengah dan kanan di KM31.8 hingga KM32.7 arah timur (Genting Sempah) ditutup bagi memudahkan kerja penyelenggaraan.

“Penutupan adalah untuk kerja-kerja penyelenggaraan ‘pavement rehabilitation’,” katanya dalam satu hantaran pada Selasa.

Ketua Polis Bentong, Zaiham Mohd Kahar, berkata Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman sudah memaklumkan perkara itu kepada pengendali lebuh raya berkenaan, Anih Berhad.

“Kesesakan teruk disebabkan di laluan berkenaan hanya dibuka satu lorong, dan pihak kami serta JSPT Bukit Aman sudah mencadangkan kepada pihak Anih supaya membuka dua lorong.”

Selain polis, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Bentong juga dimaklumkan mengenai kesesakan itu.

Sinar Harian melaporkan trafik telah perlahan sejak tengah malam Isnin hingga menyebabkan pengguna jalan raya menghadapi kesesakan lebih empat jam. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button