Buletin

JALAN ALTERNATIF BANYAK SIMPANG UNDANG KESESAKAN, PENDUDUK GUA MUSANG STRES

Seperti sedia maklum, dua laluan utama di Gua Musang ditutup sepenuhnya berikutan kerja-kerja pemasangan cerucuk jambatan bagi pembinaan LTU Pakej 3B dan 3C.

Keadaan tersebut memaksa penduduk di lebih 10 kawasan berhampiran menggunakan laluan alternatif FT008 melalui hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, FT 2744 (hadapan Hospital Gua Musang) dan FT2746 (Jalan Pulai).

Penutupan sejak 3 April itu menyebabkan rutin harian penduduk sekitar berubah bahkan perlu keluar seawal 6.30 pagi untuk menghantar anak ke sekolah selain bimbang terperangkap dalam kesesakan.

Seorang penduduk Taman Wangi, Siti Maisarah Ahmad, 36, berkata, dia sebelum ini hanya mengambil masa antara 10 hingga 20 minit untuk menghantar anak ke sekolah, namun kini menempuh perjalanan 40 hingga 50 minit.

Katanya lagi kepada Kosmo! jalan alternatif yang dicadangkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) mempunyai banyak cabang atau persimpangan sehingga mengundang kesesakan.

Seorang bapa, Muhammad Anuar Osman, 48, berkata, pihak berkuasa perlu mencari jalan penyelesaian untuk mengurangkan pertambahan kenderaan di jalan alternatif.

Tambahnya, bacaan tekanan darahnya sentiasa tidak normal ketika ini apabila perlu menghadapi kesesakan setiap pagi, selain berdepan dengan kerenah pemandu lain.

“Kami dapat jangkakan pertambahan kenderaan bakal berlaku minggu depan apabila perantau mula pulang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung.

“Kami juga terkejut berlaku kejadian kemalangan melibatkan 15 murid cedera selepas bertembung dengan lori balak ketika melalui jalan alternatif berkenaan semalam (kelmarin).” – Kosmo!

Google ads
Back to top button